Adam Norrodin kecewa gagal tamatkan perlumbaan
Bernama
November 3, 2019 04:58 MYT
November 3, 2019 04:58 MYT
Jelas terpancar raut kecewa di wajah pelumba Petronas Sprinta Racing Team (SRT), Adam Norrodin apabila tidak dapat melengkapkan perlumbaan Moto2 pada Grand Prix (gp Malaysia 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), pada Ahad.
Beliau yang hanya sempat melengkapkan lima daripada 18 pusingan di Litar Sepang, terjatuh di selekoh keempat sehingga menyebabkannya tidak dapat meneruskan perlumbaan.
Namun, Adam bernasib baik apabila tidak mengalami sebarang kecederaan berbanding insiden musim lepas, ketika bertanding dalam kelas Moto3 menyaksikan Adam mengalami kecederaan pada bahu dan lutut.
"Saya cuba buat lebih baik dan tambah kelajuan tapi tergelincir pada selekoh keempat. Bagi saya ini lagi mengecewakan dari tahun lepas. Saya juga hilang sikit dengan jentera, saya cuba tingkatkan prestasi tapi tidak berjaya," katanya kepada media.
Pelumba negara berusia 21 tahun itu menggantikan slot Khairul Idham Pawi dalam perlumbaan kelas Moto2 bermula di GP San Marino.
Adam menggantikan Khairul Idham yang terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan tangan kanannya di Sepanyol, Ogos lalu, susulan kecederaan yang dialaminya pada GP Sepanyol pada Mei.
Adam, yang akan kembali bersaing dalam Kejuaraan Remaja di Sepanyol (CEV) pada musim hadapan, mengakui beliau dalam keadaan tenang ketika memulakan aksi walaupun menyaksikan ramai pelumba terlibat dalam kemalangan dan tergelincir dalam perlumbaan kelas Moto3 terdahulu.
"Saya tidak patah semangat untuk terus lakukan yang terbaik bagi perlumbaan seterusnya di Valencia kerana saya tahu masih banyak yang perlu saya belajar untuk berada di kejuaraan dunia.
"Semestinya saya akan bangkit di Valencia nanti, perlumbaan terakhir saya bagi musim ini. Kami (pasukan) kena cuba mencari jalan untuk aksi lebih baik di Valencia nanti.
"Saya mahu tahu berapa jauh (kelajuan) saya boleh pergi. Saya kena betul-betul bersedia untuk perlumbaan seterusnya," katanya.
GP Valencia 2019 merupakan pusingan ke-19 yang juga perlumbaan terakhir musim ini akan berlangsung pada di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol, 17 Nov ini.
-- BERNAMA
#adam norrodin
#grand prox
#Litar Antarabangsa Sepang
#Moto2
#pelumba negara
#Petronas Sprinta Racing Team
#Sepang
#SRT