Adam lebih tenang hadapi GP Malaysia hujung minggu ini
Bernama
Oktober 31, 2018 06:00 MYT
Oktober 31, 2018 06:00 MYT
Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin mengakui lebih tenang untuk mengharungi perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2018 di Litar Antarabangsa Sepang, hujung minggu ini.
Adam, yang akan beraksi dalam Kejuaraan Remaja di Sepanyol (CEV) dalam kelas Moto2 musim depan, berkata walaupun harapan yang tinggi diletakkan padanya pada setiap musim tetapi musim ini berbeza kerana beliau sudah belajar daripada pengalaman sepanjang perlumbaan MotoGP musim lepas.
"Saya lebih tenang untuk menghadapi perlumbaan di tanah air sendiri hujung minggu ini dan telah bersedia sepenuhnya.
"Sejujurnya selepas pihak pengurusan mengumumkan yang saya tidak akan bersaing lagi dalam kelas Moto3, dan beralih kepada saingan CEV kelas Moto2, saya berasa lega kerana sudah mengetahui nasib saya musim depan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi 'Teh Tarik' bersama peminat di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Adam juga mengucapkan terima kasih kepada semua peminat sukan permotoran yang hadir pada sesi bertemu peminat itu serta menyokong kesemua tiga pelumba negara.
"Saya juga amat menghargai sokongan peminat permotoran tempatan yang memberi suntikan semangat kepada semua pelumba negara yang lain seperti Hafizh Syahrin dan Khairul Idham Pawi," katanya.
Adam kini menduduki tempat ke-20 daripada 45 pelumba dengan mengumpul 46 mata setelah mengharungi 16 pusingan.
Sepanjang musim 2018, Pelumba Petronas Sprinta Racing mencipta rekod terbaik sewaktu di GP Argentina apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima dalam saingan Moto3.
-- BERNAMA