Adam Lallana setuju kekal lebih lama di Anfield
Astro Arena
Februari 23, 2017 09:39 MYT
Februari 23, 2017 09:39 MYT
Pemain tengah England, Adam Lallana, memeterai kontrak jangka masa panjang bersama Liverpool.
Lallana berhijrah ke Anfield dari Southampton pada Julai 2014, yang ketika itu diuruskan oleh bekas bos, Brendan Rodgers.
Sejak itu, dia menjadi nadi penting dalam perancangan Jurgen Klopp.
Kontrak pemain berusia 28 tahun itu akan berakhir pada 2019 dan dia dilaporkan akan menikmati gaji lebih lumayan di samping perancang tengah, Philippe Coutinho, selepas memperbaharui kontraknya.
Liverpool bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci perjanjian baru Lallana itu, tetapi ia dikhabarkan selama tiga tahun dengan pilihan untuk melanjutkannya selama 12 bulan lagi.
Lallana yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik England 2016, bulan lalu, telah merakamkan tujuh gol dan mencipta banyak bantuan gol sepanjang 23 penampilannya dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.
"Saya boleh katakan, ketika ini saya menampilkan permainan terbaik saya -- dan sudah tentu, cabaran seterusnya adalah untuk kekal atau meningkatkan prestasi -- ia sentiasa menjadi keutamaan di kelab seperti ini -- anda perlu sentiasa meningkatkan persembahan dan mencabar diri anda.
"Saya berasakan, saya masih mampu memperagakan aksi yang lebih baik kerana saya berasa lebih cergas dan yakin.
"Saya tidak boleh menjamin akan sentiasa muncul sebagai pemain terbaik di atas padang, namun saya fikir, anda boleh sentiasa berjanji untuk cuba melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Saya cuba untuk melakukannya dan saya berasakan peminat Liverpool dapat melihatnya."
Liverpool yang kini menduduki tangga kelima EPL, akan berkunjung dan membuat perhitungan dengan Leicester City, Isnin depan.