Adam buru penampilan di UK
Sinar Harian
April 14, 2022 07:00 MYT
April 14, 2022 07:00 MYT
PELUMBA negara, Adam Khalid menetapkan sasarannya untuk beraksi di litar United Kingdom (UK) pada Ogos ini untuk membolehkannya bersaing dalam musim penuh British GT Series tahun depan.
Adam yang akan beraksi dalam beberapa perlumbaan akhir tahun ini sebagai sebahagian daripada program percubaannya berharap dapat menyerlah dengan memasuki kedudukan tiga teratas dalam setiap perlumbaan yang akan disertainya tidak lama lagi.
Pelumba berusia 24 tahun itu yang akan bersaing dalam kategori GT4 mewakili New Bridge Motorsports, berjanji untuk membanggakan negara dan keluarganya di UK.
“Saya mahu membuktikan bahawa kita ada potensi dan kita mempunyai apa yang diperlukan untuk bersaing dengan semua pelumba antarabangsa. Jadi kedudukan tiga teratas bagi saya, ya, ia sesuatu yang mengujakan berada di podium,” katanya dalam video yang dikongsi kepada media.
Ditanya mengenai persediaannya, Adam yang akan mengemudi Aston Martin dalam perlumbaan itu, menyifatkan semuanya baik kerana dia hanya menggunakan simulator untuk merasai pengalaman berlumba serta menguatkan fizikal dan mentalnya di Malaysia.
Bukan itu sahaja, Adam yang akan melanjutkan pelajaran di University of Coventry selama dua tahun mengikuti jurusan reka bentuk grafik berharap dapat mengimbangi pelajaran dan perlumbaan di sana.
“Saya fikir perkara terbaik ialah saya percaya bahawa saya seorang individu yang berdisiplin... saya harap saya dapat memberi tumpuan dalam perlumbaan sambil mempunyai sedikit masa untuk membolehkan saya menghabiskan tugasan,” tambahnya.
Adam yang menceburi sukan karting pada usia 13 tahun sebelum ini menyertai Kejohanan Formula 4 Asia Tenggara pada 2016-2017 serta menjadi Juara Rookie Formula BMW pada 2015.
*Artikel asal di Sinar Harian