Adam buru musim terbaik dengan JDT

Astro Arena
Februari 4, 2019 19:33 MYT
Adam dijangka memainkan peranan penting buat skuad JDT sepanjang musim ini. - Astro Arena
PERTAHANAN Johor Darul Ta'zim (JDT), Adam Nor Azlin, bertekad untuk menjadikan 2019 sebagai musim terbaik dalam kariernya setelah mula diberikan peranan lebih besar dalam tahun keduanya bersama skuad Harimau Selatan itu.
Adam memulakan musim 2019 dengan positif selepas berjaya membarisi kesebelasan utama JDT ketika aksi Piala Sumbangsih menentang Perak di Larkin, pada Sabtu.
Dengan mengetepikan tonggak senior, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Adam mempamerkan aksi meyakinkan bersama Mauricio Dos Santos di bahagian pertahanan tengah.
Situasi itu memberikan gambaran jelas bahawa pemain kelahiran Selangor itu akan terus memainkan watak penting dalam skuad JDT sepanjang musim ini.
"Alhamdulillah segalanya berjalan lancar, cuma kami perlu mendapatkan lebih keserasian untuk memaparkan lebih kemantapan di bahagian bawah," katanya.
Dalam tahun pertamanya bersama JDT musim lalu, Adam lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan kurang diberikan minit permainan sehingga menyebabkan prestasinya merudum.
Selain Adam, penyerang JDT, Syafiq Ahmad, juga sudah mula dibentuk untuk menjadi pemain utama selepas diberikan kepercayaan utuk membarisi kesebelasan utama.
"Semua pemain perlu memberikan 200 peratus fokus dan komitmen dalam setiap perlawanan.
"Ia penting untuk kami mencapai sasaran yang ditetapkan musim ini," tambahnya.
#adam nor azlin #bola sepak #Harimau Selatan #JDT #Johor Darul Takzim #pemain bola sepak #pertahanan
;