'Adakah saya dalam kedudukan untuk mencemburui sesiapa?' - TMJ
Kohilah Sekaran
Disember 20, 2015 17:26 MYT
Disember 20, 2015 17:26 MYT
Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini memberi komen berhubung reaksi beberapa pihak yang mendakwa baginda cemburu dengan keputusan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan.
Menerusi laman Facebook pasukan Johor Southern Tigers, TMJ menyiarkan temubual terbaru baginda bersama seorang wartawan.
Menurut TMJ, baginda hanya akan mempedulikan pandangan orang lain jika ia memberi manfaat kepadanya.
“Orang akan berkata bermacam-macam. Tetapi saya akan mula ambil peduli apabila pandangan mereka membayar bil bil saya,” kata Putera Johor itu.
Apabila ditanya berkenaan nasihat baginda kepada peminat bola sepak tanah air, TMJ menegaskan bahawa setiap penyokong bola perlu mengenal pasti musuh mereka dan bukannya mengkritik oran yang tidak bertanggungjawab.
“Kenal pasti musuh anda, cuba yang terbaik untuk menjadi bijak. Saya bukan seseorang yang mencuri duit kelab anda.
“Terdapat beberapa pihak lain yang bertanggungjawab atas perkara tersebut. Saya hanya menciptakan sebuah kelab bola sepak yang kecil.
"Jika anda membenci saya itu adalah masalah anda bukan masalah saya,” katanya.
TMJ juga mengingati orang ramai bahawa hidup ini singkat, jadi baginda tidak mahu membuang masanya.
“Saya ada perkara-perkara lain yang lebih penting untuk diberi tumpuan dan perkara yang baik untuk dihargai. Untuk orang-orang yang sayangkan saya semoga Tuhan memberkati anda. Untuk yang membenci, semoga Allah akan memberikan kehidupan dan perkara-perkara yang lebih baik untuk anda lakukan.”
Sebelum ini, Putera Johor itu tidak mengiktiraf anugerah bola sepak kebangsaan walaupun pasukan JDT mendominasi anugerah tersebut.
Hal ini kerana menurut baginda, pengiktirafan sepatutnya diberikan kepada yang layak, bukan untuk menjaga hati pihak-pihak tertentu.
Difahamkan, beliau tidak begitu puas hati dengan pencalonan anugerah penyokong terbaik, anugerah jurulatih terbaik, serta beberapa anugerah lagi.