Adakah ini balasan kerana langgar janji kepada keluarga? - Azizulhasni

Astro Awani
Ogos 14, 2024 15:25 MYT
Azizulhasni berkata beliau berasa bersalah kerana menghampakan rakyat Malaysia dan memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan impian membawa pulang pingat emas pertama negara pada temasya Olimpik Paris 2024 yang baru saja berakhir. -Facebook
KUALA LUMPUR: Legenda berbasikal trek negara Azizulhasni Awang masih terkesan dengan peristiwa pahit apabila penyertaannya dibatalkan pada pusingan pertama acara keirin di Sukan Olimpik Paris baru-baru ini.

Ringkasan AI
  • Azizulhasni Awang masih terkesan dengan pembatalan penyertaannya dalam acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024, yang menghalangnya daripada merealisasikan impian membawa pulang pingat emas pertama untuk Malaysia.
  • Beliau memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalan tersebut dan berasa bersalah kerana tidak dapat memenuhi harapan mereka.
  • Azizulhasni berkata beliau teringat janji kepada ibu, isteri dan anak-anak yang ini merupakan penampilan Sukan Olimpik terakhir selepas pulih dari pembedahan jantung dahulu.

Azizulhasni dalam coretannya di Facebook berkata beliau berasa bersalah kerana menghampakan rakyat Malaysia dan memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan impian membawa pulang pingat emas pertama negara pada temasya Olimpik Paris 2024 yang baru saja berakhir.
"Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya memohon maaf di atas apa yang berlaku di Sukan Olimpik Paris dan kerana tidak dapat merealisasikan impian semua untuk membawa pulang pingat Emas pertama negara.
"Sepanjang proses persiapan dan perjalanan ke Paris, saya sentiasa memainkan gambaran yang positif, gambaran yang penamat di Paris akan menjadi sebuah cerita manis buat Malaysia dan khususnya buat karier saya.
"Namun saya juga terkelu seribu bahasa dengan pengakhiran seperti ini," kata Azizulhasni.
Menurutnya, pada ketika itu, beliau tergamam apabila dikenakan tindakan ‘disqualification’, namun masih berharap keajaiban akan berlaku.
"Ketika melihat dunia seolah-olah terhenti. Tubuh badan panas bersedia untuk beraksi tiba-tiba menjadi sejuk kaku. Seluruh velodrome sunyi sepi walaupun hakikatnya penuh dengan sorakan dari penonton yang hadir.
"Saya masih tidak mahu berputus asa dan menunggu sebuah keajaiban untuk berlaku. Menantikan dengan penuh harapan senarai nama akhir pusingan ‘repecharge’ keluar untuk memastikan nama saya ada di situ.
"Namun akhirnya saya kekal kecewa. Langsung saya mengemas beg dan memilih untuk terus beredar dari situ kerana saya tidak dapat menerima hakikat yang perlumbaan akan berjalan tanpa saya turut serta," kata Azizulhasni lagi.
Tambahnya, beliau tidak pernah menjangka perkara sebegini boleh berlaku kepadanya, apatah lagi apabila temasya kali ini merupakan yang terakhir sebelum beliau bersara.
"Saya tidak dapat mencari perkataan untuk menggambarkan perasaan yang saya alami pada detik itu. Tidak pernah saya terfikir yang perkara seperti ini akan berlaku.
"Saya teringat janji-janji kepada ibu, isteri dan anak-anak yang ini merupakan penampilan Sukan Olimpik terakhir ketika mana mereka semua meminta untuk saya bersara selepas pulih dari pembedahan jantung dahulu.
"Saya terfikir adakah ini semua berlaku kerana melanggari permintaan mereka dahulu.
"Dari awal karier sehingga sekarang mereka inilah sumber kekuatan untuk saya meneruskan perjuangan sehingga mampu menjadi antara terbaik di puncak dunia," tulis Azizulhasni lagi.
Beliau dalam pada itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan padu kepada perjalanan kariernya selama ini.
#Azizulhasni Awang #Sukan Olimpik Paris 2024 #penyertaan dibatalkan #hampakan rakyat Malaysia
;