Ada sinar buat sukan angkat berat - Syed Saddiq

Bernama
September 12, 2019 05:23 MYT
SYED SADDIQ: Saya lihat peluang mereka cerah tetapi kena berbincang terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
Mungkin ada khabar gembira buat sukan angkat berat untuk dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor, tahun depan.
Ini berikutan keputusan ujian doping lima atlet angkat berat kebangsaan yang dilakukan secara mengejut oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) Julai lalu didapati negatif.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata sukan itu mempunyai peluang lebih baik untuk dipertandingkan di SUKMA selepas melihat usaha Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan atlet untuk memulihkan imej sukan itu yang sering dipalit isu doping.
"Ini menunjukkan satu perkembangan yang sangat baik. Atlet dan persatuan komited dalam membersihkan nama mereka. Kita akan bawa perkara ini ke Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 untuk diperhalusi pada 19 Sept ini.
"Saya lihat peluang mereka cerah tetapi kena berbincang terlebih dahulu sebelum membuat keputusan," katanya pada sidang media selepas program Perjumpaan bersama Atlet Program Podium di sini, Khamis malam.
Perjumpaan itu melibatkan atlet yang kini sedang menjalani latihan bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2019 dan Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina.
Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan masih mempertimbangkan sama ada sukan angkat berat akan dipertandingkan pada temasya itu dimana sukan itu berstatus 'KIV' (simpan dalam perhatian).
Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berkata masih terlalu awal untuk pihaknya menetapkan sasaran buat kontinjen negara ke Sukan SEA Filipina.
"Sasaran hanya akan diumumkan apabila berdekatan dengan temasya yang dijadualkan pada 30 Nov hingga 11 Dis ini. Saya tidak mahu beri tekanan kepada atlet semata-mata. Tekanan ini harus dikongsi bersama termasuk KBS, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan pihak terlibat dalam persediaan atlet," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Syed Saddiq menggesa atlet untuk mencari peluang meningkatkan diri ke peringkat yang lebih tinggi dan tidak terlalu selesa dengan kejayaan yang dicipta sebelum ini.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa atlet negara mampu mencipta detik kejayaan dalam mengharungi cabaran mendatang.
-- BERNAMA
#ASEAN #KBS #Menteri Belia dan Sukan #Sukan SEA #SUKMA #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
;