Ada sesuatu yang tidak kena jika De Gea muncul pemain terbaik - Mourinho
Astro Arena
Januari 7, 2017 09:38 MYT
Januari 7, 2017 09:38 MYT
Jose Mourinho berasakan ia akan menjadi satu petanda buruk jika David de Gea menerima anugerah Pemain Terbaik Manchester United buat kali keempat berturut-turut.
Penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu muncul pemenang anugerah tersebut pada tahun 2014, 2015 dan 2016 dan menjadi pemain kedua dalam sejarah kelab itu untuk muncul pemenang sebanyak tiga kali selepas Cristiano Ronaldo.
Mourinho mengakui dia gembira melihat penjaga gol utamanya mempamerkan aksi mantap namun berpendapat jika pemain itu mengutip anugerah keempat musim ini ia secara tidak langsung membuktikan pasukan itu memiliki barisan pertahanan yang lemah.
"Pada saya, jika seorang penjaga gol muncul pemain terbaik, itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena," Mourinho memberitahu wartawan.
Mourinho juga berkata, dia berharap David bukan lagi Pemain Terbaik musim ini tetapi dia mahu dia David terus menyelamatkan gawang United sepertimana dia lakukan sebelum ini.
"Sudah tentu saya mahu penjaga gol mendapat pengiktirafan. Saya mahu mereka menerima anugerah Ballon d'Or atau menjadi pemain terbaik di Liga Perdana Inggeris.
"Ini kerana mereka merupakan pemain yang berseorangan di samping memakai baju berbeza daripada rakan sepasukan lain.
"Apabila mereka beraksi dengan baik, persembahan mereka mudah dilupakan tetapi apabila mereka beraksi hambar, semua pihak akan mengingatinya.
"Tetapi apa yang saya ingin perkatakan di sini, jika seorang penjaga gol terus menerus muncul pemenang anugerah Pemain Terbaik bermakna ada sesuatu yang tidak kena," ujar Mourinho.