Ada penaja, KFA bayar lagi RM1.26 juta gaji pemain minggu ini - Sanusi
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 26, 2020 06:50 MYT
Ogos 26, 2020 06:50 MYT
Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan mengotakan janjinya untuk melunaskan bayaran gaji tertunggak pemain sebanyak RM1.26 juta pada hujung minggu ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor, selaku Presiden KFA, yang memaklumkan jumlah bayaran itu termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Ada penaja yang telah bersedia. InsyaAllah hujung minggu ini saya akan buat satu pembayaran lagi, RM1.26 juta gaji dan KWSP, sebelum mereka beraksi," katanya.
Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penajaan Biasiswa dan Pinjaman Pendidikan antara Universiti Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (UniSHAMS), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Yayasan Islam Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.
Jelasnya, pembayaran gaji itu akan dilunaskan sebelum pasukan Kedah beraksi menentang PDRM FA pada saingan CIMB Liga Super Sabtu ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
12 Ogos lalu, Astro AWANI melaporkan KFA memberi jaminan bahawa isu gaji tertunggak yang dihadapi pemain sejak Mac lalu akan dapat diselesaikan pada musim 2020 ini.
KFA juga sudah menjelaskan bayaran gaji bagi Julai selepas skuad Lang Merah tidak menerima sebarang tunggakan gaji sejak lebih lima bulan lalu.
Bagaimanapun, bagi tunggakan gaji bulan Mac, April, Mei dan Jun, KFA masih belum menyatakan bila akan diselesaikan dan ia bergantung kepada rundingan bersama pemain.
#bola sepak
#gaji
#Kedah
#KFA
#KWSP
#Muhammad Sanusi Md Nor
#pemain
#penaja
#rundingan
#tunggakan
#UniSHAMS