Ada Ong (Kim Swee) ka?

Zaid Ibrahim
Januari 19, 2016 18:27 MYT
Pada pandangan penulis, Tiada gunanya penajaan ratusan juta ringgit kepada pasukan pasukan di dalam liga Malaysia sekiranya ia tidak dapat membantu OKS mengubah lanskap bola sepak Malaysia. - Gambar Fail
TEKA TEKI dalam pencarian pengendali Harimau Malaya berakhir apabila panel pemilihan FAM menamakan Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih kebangsaan yang baharu.
Tahniah kepada OKS. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan bukan sesuatu yang terlalu mengujakan. Yang pasti pemilihan ini datang dengan tugasan dan amanah yang berat.
OKS turut meneruskan tradisi sebagai bekas pemain kebangsaan yang menjadi pengendali skuad negara seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Dua lagi calon, Bojan Hodak dan Robert Alberts bukan calang – calang jurulatih atau calon, tetapi bukan juga ‘nama besar’ di persada antarabangsa. Kita semua maklum akan latar belakang Hodak pengendali dari Croatia ataupun Alberts yang berasal dari Belanda ketika melatih pasukan – pasukan di Liga Malaysia.
Apakah FAM membuat pilihan yang tepat dengan mengetepikan 2 jurulatih dari Eropah dan memilih anak tempatan untuk memulihkan reputasi bola sepak Malaysia yang sedang terperosok di tangga ke 171 dunia?
Yang penting ketika ini adalah untuk OKS meneruskan misinya yang sebelum ini ‘disimpan’ ketika bergelar ‘jurulatih sementara’ dan dia cuma diberi tempoh 2 tahun untuk kembali meletakkan Malaysia digeruni dan dihormati.
Saya enggan menyentuh terlalu banyak mengenai saranan agar Harimau Malaya dibubarkan dan tanggungjawab itu diberikan kepada Skuad Projek 2017. Saya tidak pasti apakah cadangan ini dilontarkan selepas difikirkan masak – masak atau sekadar meluahkan perasaan yang terpendam.
Skuad Projek 2017 bakal dibarisi pemain – pemain yang belum matang di pentas antarabangsa dan mereka bukan setaraf dengan rakan – rakan sebaya di Eropah yang boleh beraksi dengan skuad senior pada usia belasan tahun atau awal 20an. Skuad Projek 2017 ini seharusnya menjadi ‘feeder’ kepada skuad senior. Dan Malaysia juga perlu ada Skuad Senior!
Sekiranya mereka kalah di peringkat senior apakah akibatnya kepada bola sepak Malaysia nanti? Fikir – fikirkanlah ye..
Berbalik kepada OKS, saya mengenali beliau ketika dia bersama Skuad Olimpik 1992 kendalian Chow Kwai Lam. Untuk skuad senior saya melihat beliau beraksi bersama Sarawak dan Sabah selain dibawah asuhan Claude Le Roy di Sukan Asia Hiroshima pada 1994.
Anak jati Melaka itu mengambil alih tugas K. Rajagopal mengendalikan Harimau Muda pada 2009 dan muncul Juara Liga Premier. Selepas itu mencipta nama sebagai jurulatih yang berjaya mengekalkan pingat emas Sukan Sea 2011 di bumi Jakarta!
Namun beliau gagal mempertahankan kejuaraan pada 2013. Diberi kepercayaan lagi di Sukan Asia Incheon 2014, tetapi gagal melepasi pusingan awal selepas kecundang kepada Korea Selatan dan Arab Saudi.
Sukan Sea Singapura 2015 adalah assignment terakhir bersama skuad remaja dan Malaysia gagal melepasi pusingan awal selepas gagal mengatasi Thailand dan Vietnam.
Beliau 2 kali dipertanggungjawabkan selaku ‘interim coach’ dan yang paling ketara selepas pengunduran diri Dollah Salleh pada kempen kelayakkan Piala Asia dan Piala Dunia tahun lalu.
Rekodnya bersama Skuad senior setakat ini selepas 5 perlawanan adalah mencatat 2 kemenangan dan 3 kekalahan.
Sekarang beliau sudah sah memiliki jawatan ini, jadi apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjangnya?
Cuma ada baki perlawanan kelayakan Piala Dunia/Asia menentang Arab Saudi dan selepas itu Piala Suzuki pada hujung tahun 2016. Bermakna, OKS mempunyai masa membentuk Skuad Senior yang mantap. Bukan itu sahaja, Sukan Asia 2018 di Jakarta juga sepatutnya menjadi misi beliau.
Bagi saya beliau harus berkongsi falsafah bola sepaknya dengan semua jurulatih tidak kira di peringkat remaja, belia maupun senior.
Pengarah Teknikal FAM Fritz Schmid dan Jurulatih Skuad Projek 2017 Frank Bernhardt juga adalah tokoh – tokoh yang perlu sentiasa duduk semeja dengan OKS merencana masa depan skuad negara.
Tiada gunanya penajaan ratusan juta ringgit kepada pasukan – pasukan di dalam liga Malaysia sekiranya ia tidak dapat membantu OKS mengubah lanskap bola sepak Malaysia.
Yang penting, ketepikan ‘ego’ masing – masing demi masa depan bola sepak Malaysia!
Todor lo major Ongkie!! - Oleh Zainal Abidin Rawop
#bola sepak #FAM #harimau Malaya #Ong Kim Swee #Persatuan Bola Sepak Malaysia
;