Ada 'kejutan' buat Vietnam esok - Cheng Hoe
Bernama
Disember 10, 2018 15:35 MYT
Disember 10, 2018 15:35 MYT
Menyedari tugas getir menunggu Harimau Malaya apabila berdepan Vietnam pada pertemuan final pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil esok, ketua jurulatihnya Tan Cheng Hoe telah menyediakan 'kejutan' untuk pasukan The Golden Dragons itu.
Tanpa memberi sebarang bayangan akan kejutan yang menunggu Vietnam, Cheng Hoe yakin anak buahnya mampu mencipta keputusan positif.
"Beraksi di halaman sendiri serta menerima sokongan padu penyokong pasti akan melonjakkan lagi semangat para pemain kita kerana aura di Stadium Bukit Jalil sangat berbeza," katanya pada sidang media pra-perlawanan di sini hari ini.
Cheng Hoe bagaimanapun mengakui Vietnam mempunyai barisan pertahanan yang sangat kental dan menuntut pemain Malaysia berhati-hati semasa melancarkan serangan.
Pada masa sama beliau mahu anak buahnya menyerap tekanan dengan cepat agar dapat mengawal permainan.
Pada pertemuan malam esok, Malaysia berpeluang membalas dendam tumpas 0-2 di tangan Vietnam ketika aksi peringkat kumpulan sebelum ini.
Skuad Vietnam kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-Seo itu mara ke pentas final selepas mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas Filipina pada aksi separuh akhir.
Malaysia pula ke perlawanan akhir selepas mengejutkan juara bertahan Thailand melalui peraturan gol di tempat lawan sekalipun mencatat keputusan agregat 2-2.
Pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok, skuad negara mengikat skuad Gajah Perang itu 2-2 selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Dis lepas.
Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 menggunakan format timbal balik.
Skuad negara akan berkunjung ke Hanoi, Vietnam pada 15 Dis ini selepas perlawanan final pertama di sini malam esok.
#bola sepak
#harimau Malaya
#Park Hang-seo
#Piala AFF Suzuki 2018
#serangan
#Stadium Bukit Jalal
#Tan Cheng Hoe
#Vietnam
#WeBelangTogether