'Ada ais di sayap pesawat bawa Emiliano Sala' - Pakar penerbangan
Agensi
Januari 24, 2019 15:32 MYT
Januari 24, 2019 15:32 MYT
Pesawat yang membawa bintang bola sepak Emiliano Sala mungkin telah terhenti tiba-tiba di udara dan menjunam ke laut akibat pembentukan ais di kipas sayap pesawat, kata pakar penerbangan.
Pada malam Isnin, pesawat yang dikenali sebagai ‘Piper Malibu’ itu membawa pemain bahagian penyerang Cardiff City yang baru sahaja menandatangani kontrak dan kemudiannya dilaporkan hilang dari radar sekitar Alderney.
Semalam, pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan kepada pihak media bahawa Sala dan juruterbang warganegara British iaitu David Ibbotson, 60, dikhuatiri meninggal dunia.
Menurut laporan The Sun, terdapat seorang pakar penerbangan menyatakan juruterbang tersebut berkemungkinan mengalami kesukaran mengawal pesawat berkenaan di ketinggian 2,300 kaki.
“Ianya sangat berisiko bagi pesawat yang berenjin tunggal melakukan penerbangan pada waktu malam terutamanya ketika musim sejuk. Enjin pesawat akan mengalami masalah dan boleh menyebabkan pesawat menjunam ke dalam laut,” kata Rosenschein.
Pesawat ringan tersebut dibina pada tahun 1984 dan didaftarkan di Amerika Syarikat melalui syarikat Norfolk. Ia dibawa ke United Kingdom dari Sepanyol oleh David Henderson, seorang juruterbang British.
Malah, Henderson sendiri memberitahu BBC bahawa pesawat itu mempunyai masalah iaitu ais sering terbentuk di atas sayap pesawat.
“Salah satu masalah pesawat itu (ketika musim sejuk) adalah ais boleh terbentuk di atas sayap pesawat dan jika ia terlalu besar maka ia boleh terhenti. Satu-satunya cara untuk menghilangkan pembentukan ais itu adalah dengan berada di paras udara yang lebih panas,” kata Henderson kepada BBC.
Pesawat ringan itu dilaporkan terbang pada paras 5,000 kaki sebelum meminta kebenaran untuk mendarat cemas dengan pengawal trafik udara Jersey.
Ia juga dilaporkan berada pada ketinggian yang lebih rendah sebelum hilang dari radar.
Sehingga kini, tiada sebarang penemuan dilaporkan oleh pihak berkuasa. - Sumber Daily Mail UK