ACT: The Speedy Tigers akhiri cabaran di tempat keenam

Astro Arena
September 16, 2024 16:33 MYT
Skuad hoki negara mengakhiri saingan Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di tempat keenam selepas tewas kepada Jepun. - Stadium Astro
SKUAD hoki negara mengakhiri saingan Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di tempat keenam selepas tewas kepada Jepun di Moqi, China, hari ini.
Kazumasa Matsumoto terlebih dahulu meletakkan Jepun di depan sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-5 menerusi pukulan sudut penalti.
Pemain berpengalaman, Faizal Saari, menyumbang dua gol untuk memberi kelebihan buat skuad kendalian Sarjit Singh, namun, Yuki Chiba dan Kazumasa Matsumoto mengikat permainan untuk memberi tekanan terhadap pasukan kebangsaan.
Giliran Fitri Saari memintas jaringan 4-3 pada minit ke-47 tetapi Seren Tanaka tidak mudah memberikan kemenangan buat pasukan Malaysia susulan percubaannya menewaskan penjaga gol Malaysia untuk keputusan seri 4-4.
Aksi diheret ke penentuan penalti shoot out yang menyaksikan Jepun berjaya memenangi perlawanan 4-2. -- Stadium Astro
#Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia #pasukan malaysia #Speedy Tigers #tewas kepada Jepun
;