Acosta dinobat juara dunia Moto2 paling muda

Bernama
November 12, 2023 16:06 MYT
Pelumba dari pasukan Red Bull KTM Ajo Pedro Acosta beraksi dalam saingan Moto2 pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2023 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang hari ini. - Foto Bernama
SEPANG: Pelumba Red Bull KTM Ajo Pedro Acosta berjaya merangkul kejuaraan Moto2 dunia sulungnya, selepas menamatkan perlumbaan di Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia, hari ini.
Pelumba dari Sepanyol itu yang bermula dari petak keenam, berjaya memperbaiki kedudukannya hingga ke tempat kedua dan mencatatkan masa 36 minit dan 11.506 saat (s) sebelum melakukan 'wheelie' bagi meraikan kejayaan menjadi juara moto2 dunia termuda, pada ketika melintasi garisan penamat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Pelumba berusia 19 tahun itu menamatkan perlumbaan 7.128s di belakang juara GP Malaysia 2023 Fermin Aldeguer dari pasukan Beta Tools SpeedUp.
Aldeguer, yang memulakan perlumbaan dari petak hadapan, kekal pada kedudukan itu sehingga tamat perlumbaan dan merupakan kemenangan kedua berturut-turut beliau selepas menang di GP Thailand, bulan lepas.
Seorang lagi pelumba dari Sepanyol Marcos Ramirez dari pasukan OnlyFans American Racing di tempat ketiga (36:13.936s).
Bercakap lepas perlumbaan itu, Acosta menyatakan kegembiraannya kerana dinobatkan sebagai juara kejuaraan Moto2 dunia dan kepuasan dirinya untuk memenangi gelaran itu, walaupun menghadapi kesukaran sebelum ini.
Dengan dua lagi pusingan, Acosta dengan 320.5 mata mempunyai kelebihan 77 mata di hadapan pesaing terdekat Tony Arbolino dari pasukan ELF Marc VDS Racing, yang mengumpulkan 243.5 mata.
Sementara itu, dua pelumba tempatan mewakili pasukan Petronas MIE Racing RW Azroy Hakeem Anuar dan Helmi Azman, gagal mencatatkan keputusan baik hari ini.
Azroy Hakeem gagal menamatkan perlumbaan selepas jatuh buat kali kedua, manakala Helmi menamatkan perlumbaan di tempat ketiga terakhir ( tempat ke-23) dengan 37:14.318s.
-- BERNAMA
#Pelumba Red Bull KTM #Ajo Pedro Acosta #Moto2 #motogp malaysia #juara dunia
;