ACLE: Saya mohon maaf - Natxo Insa

Astro Arena
Disember 12, 2024 09:30 MYT
Natxo Insa (kanan) mohon maaf kerana kata-katanya yang menyinggung perasaan susulan JDT tewas kepada Shandong Taishan 0-1 dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Olimpik Jinan, 26 Nov lalu. - Foto Astro ARENA
KETUA pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa, memohon maaf kepada peminat Shandong Taishan dan kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) mengenai kata-katanya yang menyinggung selepas perlawanan itu, bulan lalu.
Pemain berusia 38 tahun itu turut memberikan bayangan bahawa musim ini merupakan tahun terakhirnya dalam kancah bola sepak profesional dan komited untuk memacu Harimau Selatan mara ke dalam kelompok 16 pasukan terbaik.
Aksi yang berlangsung di Stadium Olimpik Jinan itu menyaksikan JDT tewas tipis kepada wakil China, Shandong Taishan, 0-1 walaupun mendominasi keseluruhan perlawanan dengan jaringan tunggal Shandong hadir menerusi Zeca Joaquim pada minit ke-68.
"Kepada semua, baru-baru ini saya melihat percakapan saya selepas perlawanan, ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Shandong Taishan dan saya memohon maaf di hadapan peminat bola sepak China dan juga untuk kejohanan itu sendiri.
"Saya tidak ingat apa yang saya katakan sehingga saya kembali melihat semula video itu dan saya berasakan sangat menyesal dengan apa yang telah saya ungkapkan.
"Saya benar-benar berasa kecewa kerana kami bersaing dengan serius dalam perlawanan itu dan kami berhak untuk menang, yang akan menjadi satu langkah besar ke arah objektif kami untuk layak ke kalah mati ACLE buat kali kedua dalam sejarah kami, kerana itu saya bercakap dengan kekecewaan bagi pihak saya sendiri.

Natxo Insa jelas tidak berpuas hati dengan cara pengadil mengadili perlawanan di separuh masa kedua perlawanan di antara Johor Darul Ta'zim menentang Gwangju FC#ACLElite #GWAJDT pic.twitter.com/GG1JhYgC3g

— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) October 22, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Ini tidak akan berlaku lagi, dan saya berharap peminat bola sepak dan AFC dapat memahami kecintaan dan keghairahan saya terhadap bola sepak.
"Saya ada perasaan yang kadang-kadang tidak dapat dikawal, terutamanya untuk cinta saya kepada Johor di mana saya telah berada selama lebih tujuh tahun dan saya benar-benar mahu beraksi dalam satu lagi pusingan kalah mati ACLE yang mungkin merupakan musim terakhir saya dalam kancah bola sepak profesional.
"Sekali lagi, saya berharap sesiapa yang mungkin tersinggung dengan kata-kata saya boleh memaafkan saya kerana tidak ada perkara peribadi, tetapi hanya kekecewaan untuk mencapai yang terbaik untuk JDT," katanya menerusi laman Instagram semalam.
#JDT #natxo insa #mohon maaf #ACLE #Shandong Taishan
;