ACLE: JDT anggap aksi menentang Buriram United seperti perlawanan akhir

Bernama
Mac 10, 2025 07:15 MYT
Hector Bidoglio (kiri) dan Matthew Davies bercakap pada sidang media praperlawanan ACLE 2024/2025 antara JDT dan Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, 10 Mac 2025. --fotoBERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) akan menganggap pertemuan menentang kelab Thailand Buriram United pada aksi kedua pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim di sini seperti perlawanan akhir.
Ketua Jurulatih JDT Hector Bidoglio berkata pertemuan malam ini mungkin menjadi perlawanan paling penting bagi skuad Harimau Selatan musim ini.
"Semua pemain komited dan kami perlu memberikan 100 peratus untuk perlawanan ini kerana ia sangat penting bagi kami dan para penyokong. Sasaran kami adalah untuk terus mara dalam saingan Liga Juara-Juara ini.
"Sehingga kini, JDT telah menunjukkan prestasi yang sangat baik tetapi ini adalah bola sepak, dan kami perlu menang dalam setiap perlawanan. Bermain di tempat sendiri berbeza kerana kami mendapat sokongan penyokong, di padang dan stadium kami sendiri," katanya pada sidang media praperlawanan di sini semalam.
Sementara itu, tonggak pertahanan JDT Matthew Davies berkata Buriram United sebuah pasukan yang sangat baik tetapi beliau yakin pasukannya juga mempunyai kualiti yang diperlukan untuk melakar kemenangan pada perlawanan malam ini.
"Secara jujur, Buriram United adalah pasukan yang bagus tetapi saya percaya dengan pendekatan, pemain dan falsafah kelab kami. Bagi Buriram United berkunjung ke sini, bermain di hadapan 35,000 penyokong dan mencipta kemenangan bukanlah sesuatu yang mudah. Jadi, saya yakin dengan pasukan kami," katanya.
Dalam pada itu, pemain tengah Buriram United Kenneth Dougall berkata pasukannya tidak menghadapi sebarang masalah untuk berdepan JDT di hadapan 35,000 penyokong setia di Stadium Sultan Ibrahim.
"Bagi kami, kehadiran penyokong bukanlah satu masalah. Bila bermain di tempat lawan, tidak kira di mana pun, sama ada di hadapan 50,000 atau 1,000 penyokong, kami akan berusaha sedaya upaya untuk memenangi perlawanan itu," kata pemain dari Australia berkenaan.
Ketua jurulatih Buriram United Osmar Loss Vieira pula yakin skuad bimbingannya mampu menewaskan JDT dan mara ke peringkat seterusnya dalam ACLE.
"Ini adalah kali ketiga kedua-dua pasukan bertemu. Sudah tentu, kedua-dua pasukan mengenali pemain, jurulatih dan strategi masing-masing. Jadi, kami perlu kekal fokus pada perlawanan esok dan mengekalkan strategi permainan," kata jurulatih dari Brazil itu.
Pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik di Stadium Buriram, Thailand pada 4 Mac lepas, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
-- BERNAMA
#ACLE #JDT #Hector Bidoglio #buriram united #Matthew Davies
;