ACLE: Jaringan Obregon dibatal VAR, ini penjelasan Subkhiddin
Astro Arena
Mac 12, 2025 16:15 MYT
Mac 12, 2025 16:15 MYT
Menurut Subkhiddin, sistem VAR yang digunakan bagi perlawanan malam tadi adalah tepat. - Stadium Astro
BEKAS pengadil negara, Subkhiddin Mohd Salleh, memiliki pandangan mengenai penggunaan sistem video bantuan pengadilan (VAR) yang membatalkan jaringan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) Jorge Obregon dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), semalam.
JDT terpaksa akur dengan kekalahan 0-1 di tangan Buriram United, jaringan Suphanat Mueanta dalam separuh masa kedua bertindak sebagai pemisah sekali gus menyingkirkan JDT daripada kejohanan tersebut.
JDT yang berusaha mendapatkan gol penyamaan, berjaya melakukannya di minit-minit akhir permainan menerusi Obregon, namun ia dibatalkan penjaga garisan dan penilaian VAR mengesahkan keputusan tersebut.
Insiden tersebut bagaimanapun telah mencetus persoalan, perdebatan dan kritikan dalam media sosial yang berpandangan gol tersebut seharusnya diberikan kepada JDT.
Menerusi temu bual bersama Subkhiddin Salleh, dia sempat berkongsi, sistem VAR yang digunakan bagi perlawanan malam tadi adalah tepat.
"Penonton di luar sana menunggukan apakah bukti jaringan Obregon itu adalah ofsaid. Mereka mengetahui yang penjaga garisan telah mengibarkan bendera untuk maklumkan bahawa jaringan tersebut adalah ofsaid.
"VAR akan menilai tersebut. Jadi, insiden ini pula sangat-sangat tipis. Di mana kalau kita lihat dengan mata kasar, semua akan berpandangan bahawa tidak ada ofsaid. Sebab kita nampak semua pemain adalah sebaris. Jadi, tidak ada pemain yang lebih hampir dengan garisan gol contohnya.
"Persepsi daripada apa yang dapat dilihat daripada kaca televisyen, apa yang kita lihat itu cuma daripada pandangan yang bukannya sudut sebenar. Jadi, untuk VAR pula, mereka ada teknologi di mana ada pengiraannya yang akan digunakan.
"Sistem pengiraan VAR yang kompleks, melibatkan garisan dua dimensi , tiga dimensi, garisan tegak daripada permukaan padang naik ke udara. Jadi, garisan-garisan ini yang digunakan VAR adalah lebih tepat. Di mana ia akan dapat mengesan sama ada penyerang tersebut berada dalam kedudukan ofsaid atau sebaliknya."
Tindakan penjaga garisan mengundang kemarahan penyokong tuan rumah, sehingga botol minuman dilemparkan ke arah padang yang mengundang bahaya, Subkhiddin turut berasakan pihak yang bertanggungjawab seharusnya lebih bersabar serta rasional menerima keputusan.
"Sudah pasti dalam isu seperti ini kita dapat lihat dengan jelas sudah pasti AFC akan mengenai tindakan sebagai pengajaran supaya tidak berulang kepada pasukan yang lain.
"Tindakan ini sama ada awak menang atau kalah. Kalau ada berlaku sesuatu seperti itu, memang tindakan akan diambil. Itu terpulang kepada AFC. Cuma kita perlu banyak bersabar.
"Tidak selalunya kita menang, tidak selalunya kita kalah, tidak selalunya kita dalam keadaan yang selesa.
"Jadi bila tiba perkara seperti ini, kita kena bersabar dengan ujian seperti ini supaya tidak menjejaskan imej bola sepak negara kita, imej pasukan tersebut. Jadi ini amat penting. Semua orang perlu ada tanggungjawab untuk memiliki disiplin." -- Stadium Astro