ACLE: Ini sebab Shandong Taishan tarik diri walau layak ke pusingan 16
Astro Arena
Februari 19, 2025 05:30 MYT
Februari 19, 2025 05:30 MYT
Tindakan mengejut Shandong Taishan (gambar) diambil ketika pasukan itu berada dalam kedudukan baik untuk mara ke pusingan 16 terbaik ACLE. - Foto Astro ARENA
KELAB China, Shandong Taishan mencipta kejutan dengan menarik diri daripada aksi terakhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Ulsan HD FC.
Penarikan diri kelab tersebut turut disahkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Susulan itu, tindakan Shandong bakal dirujuk kepada jawatankuasa AFC untuk tindakan selanjutnya.
“Disebabkan ketidakselesaan fizikal yang serius membabitkan pemain-pemain, selepas penilaian dibuat oleh pasukan perubatan, pemain-pemain tidak dapat membentuk pasukan untuk beraksi dalam aksi ACLE menentang Ulsan HD,” kata kelab itu seperti dilaporkan Hotpot Football.
“Kami amat kesal dengan keputusan ini dan memohon maaf kepada AFC, Ulsan HD dan para penyokong.”
Tindakan mengejut Shandong tercetus tatkala pasukan yang dibimbing Choi Kang-hee itu berada dalam kedudukan baik untuk mara ke pusingan 16 terbaik ACLE.