ACLE: Arif Aiman tangga teratas jumlah percubaan tepat, Cristiano Ronaldo keempat

Astro Arena
November 12, 2024 15:45 MYT
Arif Aiman berada di tempat pertama dengan 10 percubaan tepat selepas mengharungi empat perlawanan. - Gambar fail
PEMAIN sayap Johor Darul Ta'zim, Arif Aiman Hanapi kekal sebagai pemain yang mempunyai jumlah percubaan tepat terbanyak dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) ketika ini.
Merujuk kepada data semasa yang dikemas kini menerusi laman web Liga Juara-Juara Asia itu, Arif Aiman berada di tempat pertama dengan 10 percubaan tepat selepas mengharungi empat perlawanan.
Manakala bagi Daiju Sasaki (Vissel Kobe) dan Salem Al Dawsari (Al-Hilal) di tempat kedua dengan jumlah lapan percubaan tepat dan Cristiano Ronaldo di kedudukan keempat dengan tujuh percubaan tepat.
Menerusi 10 percubaan tepat yang dihasilkan, Arif Aiman berjaya menjaringkan empat gol setakat ini dan menyaksikan beliau berkongsi kedudukan penjaring gol kedua terbanyak bersama-sama Anderson Lopes (Yokohama F. Marinos, empat gol) dan Mitrovic (Al-Hilal, empat gol). Penjaring terbanyak kekal menjadi milik Jasir Asani yang bermain untuk Gwangju FC dengan enam gol.
Arif Aiman menjaringkan dua gol ketika menentang Shanghai Port, satu gol menentang Shanghai Shenhua, dan satu gol ketika menewaskan Ulsan HD baru-baru ini. -- Stadium Astro
#Arif Aiman #JDT #percubaan tepat terbanyak #Cristiano Ronaldo #Liga Juara-Juara Asia Elit
;