ACL: Permulaan hambar hukum JDT di Ulsan

Bernama
Oktober 24, 2023 22:44 MYT
Ulsan Hyundai yang merupakan juara edisi 2012 dan 2020 mengambil kesempatan di atas aksi longlai dan kepincangan skuad Harimau Selatan di awal permainan untuk meledak tiga gol dalam tempoh 20 minit pertama. - Gambar FB Southern Tigers
KUALA LUMPUR: Juara Liga Super 2023, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengalami kekalahan kedua selepas kecundang 1-3 di tangan pasukan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada aksi ketiga Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) hari ini.
Pada pertembungan di Stadium Bolasepak Ulsan Munsu itu, Ulsan Hyundai yang merupakan juara edisi 2012 dan 2020 mengambil kesempatan di atas aksi longlai dan kepincangan skuad Harimau Selatan di awal permainan untuk meledak tiga gol dalam tempoh 20 minit pertama.
Ketua pasukan Jun Seung Hyun meletakkan pendahulu Liga K 1 itu di depan seawal minit kelima selepas beliau yang tidak dikawal bijak mencari ruang untuk mudah menolak masuk bola sepakan penjuru yang gagal diselamatkan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Pasukan tuan rumah kendalian Hong Myung Bo tidak menunggu lama untuk menggandakan kedudukan apabila Gustav Ludwigson yang cuba dihalang pemain pertahanan JDT Matthew Davies berjaya melepaskan rembatan yang menggegar jaring pada minit ke-12.
Enam minit kemudian, gawang JDT bimbingan Esteban Solari bocor lagi apabila Ludwigson berjaya menjaringkan gol kedua peribadinya selepas menggelecek Davies dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang yang menewaskan Ahmah Syihan untuk kali ketiga.
Bagaimanapun, Ulsan Hyundai menerima tamparan apabila pemain pertahanan Kim Tae Hwan dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua sekali gus menyaksikan pasukan terpaksa mengharungi baki permainan dengan 10 pemain.
Ketinggalan 0-3, JDT tampak lebih tenang dalam mengatur serangan, namun buntu menghasilkan jaringan yang dicari-cari apabila percubaan Heberty Fernandes dari jarak dekat dihalang pertahanan lawan pada minit ke-22 diikuti tandukan Corbin Ong pada minit ke-38 yang tepat ke dakapan penjaga gol.
Namun, JDT akhirnya berjaya merobek gawang lawan selepas gerakan satu dua antara gandingan penyerang import Fernando Forestieri dan Bergson da Silva disudahkan Bergson dengan satu rembatan kencang kaki kanan yang gagal diselamatkan Jo Hyeon Woo di gawang.
Jaringan tersebut ternyata membakar motivasi anak buah Solari, namun kekebalan benteng pertahanan lawan di sebalik bermain dengan 10 pemain sehingga wisel penamat menafikan kebangkitan juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu.
Kemenangan itu membolehkan Ulsan Hyundai memintas JDT di kedudukan kedua Kumpulan I dengan mengumpul enam mata selepas tiga perlawanan sementara JDT berada di posisi bahaya selepas jatuh ke tempat ketiga dengan tiga mata.
-- BERNAMA
#Harimau Selatan #Ulsan Hyundai #pemain pertahanan #posisi bahaya
;