ACC: Selamat datang! Azizulhasni Awang kini pengulas Astro Arena
Astro Arena
Februari 22, 2025 04:45 MYT
Februari 22, 2025 04:45 MYT
Azizulhasni memuat naik hantaran di media sosial menunjukkan beliau bersama Zainal Abidin mengendalikan penstriman langsung ACC 2025 di Velodrom Nasional, Nilai. - Facebook Azizulhasni
THE Pocket Rocketman, Azizulhasni Awang, berkongsi perasaannya memulakan debut pertama selaku pengulas sukan bersama Astro Arena di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai.
Dia turut mengakui ia merupakan perasaan berbeza buat dirinya ketika beraksi sebagai seorang atlet di dalam trek berbanding ketika melakukan ulasan di tempat duduk penonton.
Dengarkan ulasan legenda berbasikal trek negara itu sepanjang berlangsungnya perlumbaan ACC 2025 secara langsung di Astro Arena 2 saluran 802 bermula jam 9.00 pagi.
"Jadi pelumba lagi senang, jadi pengulas bukan tugas yang mudah. Terima kasih Haji Zainal, banyak tunjuk ajar yang diberikan dan terima kasih kepada pihak Astro yang memberikan peluang selaku pengulas.
"Ini merupakan debut pertama saya dan di perlumbaan ACC 2025.
"Pertama perlu dapatkan keserasian dengan rakan pengulas, kerana Haji Zainal seorang legenda, dia tahu mencari kesesuaian, bukan mudah.
"Kedua perlu dapatkan intonasi semasa perlumbaan berlangsung. Ketiga adalah idea (sebagai pengulas) semasa perlumbaan berlangsung.
"Daripada bangku penonton, saksikan pelumba berlumba dan kemalangan cukup berbeza." katanya.
Azizulhasni memuat naik hantaran di media sosial menunjukkan beliau bersama rakan pengulas sukan Zainal Abidin Rawop mengendalikan penstriman langsung ACC 2025.