ACC: Kun Pan cipta sejarah rangkul emas di ACC 2023

Bernama
Jun 12, 2023 04:40 MYT
Kun Pan mengetepikan cabaran pelumba Uzbekistan, Yanina Kuskova dan Dewika Mulya Sova dari Indonesia yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa. - Foto Facebook/I-Sports Wear
KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Phi Kun Pan mencipta sejarah apabila muncul wakil pertama negara merangkul emas dalam acara lepas beramai-ramai bawah 23 tahun wanita di Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia (ACC) 2023 di Rayong, Thailand, pada Ahad.
Pelumba berusia 20 tahun kelahiran Kedah itu merakam masa dua jam 51 minit 41 saat dengan purata kelajuan 38.79 kilometer sejam (kmj) dalam perlumbaan sejauh 111km untuk menamatkan kemarau kilauan emas negara.
Kun Pan mengetepikan cabaran pelumba Uzbekistan, Yanina Kuskova dan Dewika Mulya Sova dari Indonesia yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), dalam kenyataan hari ini, memaklumkan dua lagi wakil negara, Zhen Yi Yeong dan Nur Fitrah Shaari, masing-masing menduduki tempat ke-0 dan ke-18.
Naib Presiden PKBM, Norazman Abu Samah, menyifatkan pencapaian Kun Pan sebagai kejayaan cemerlang, lebih-lebih lagi selepas pelumba tersebut dan Nur Fitrah hampir terlepas tiket bertanding di Rayong.
"Mereka datang ke Rayong untuk berlumba dengan menggunakan duit sendiri. Penyertaan mereka juga disahkan pada saat-saat terakhir.
"Nasib kita baik kerana saya juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF). Saya merayu kepada Presiden ACF, Jen Dr Decha Hemkasri supaya mereka diterima untuk berlumba, " katanya.
Norazman berkata kejayaan dilakar Kun Pan membuktikan skuad lebuh raya wanita kini berada di landasan betul untuk menyerlah pada Sukan SEA 2025 di Thailand dan ACC 2024.
Kejayaan dilakar pelumba wanita itu sekali gus menyaksikannya berjaya menamatkan kemarau pingat negara dalam kejohanan tersebut selepas Adiq Hussainie Othman merangkul perak acara lepas beramai-ramai lelaki pada ACC 2012, di sini.
-- BERNAMA
#Sukan SEA 2025 #pingat emas #ACC 2023 #wakil negara
;