ACC: BG Pathum United sekat impian Terengganu ke separuh akhir

Bernama
Februari 6, 2025 08:50 MYT
Safawi Rasid (kanan) menyumbat gol pada minit ke-93 dan meraih jaringan peribadi keduanya selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-98, namun tidak mampu menyekat kemenangan pasukan lawan. - Foto Terengganu FC
KUALA LUMPUR: Terengganu FC terlepas tiket ke separuh akhir Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2024/25 selepas tewas 3-4 kepada wakil Thailand BG Pathum United pada perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium BG, Pathum Thani malam tadi.
Berada di posisi kedua sebelum perlawanan berlangsung, kekalahan itu sekali gus melenyapkan impian anak buah Badrul Afzan Razali untuk ke pusingan kalah mati selepas jatuh ke kedudukan keempat dengan mengumpul tujuh mata, berkongsi mata dengan PKR Svay Rieng FC dari Kemboja di tangga ketiga.
Juara kumpulan Pathum United mengumpul 11 mata dan naib juara PSM Makassar dari Indonesia yang meraih 10 mata masing-masing akan mara ke peringkat separuh akhir.
Pada pertembungan malam tadi, aksi rancak yang menyaksikan keseluruhan tujuh jaringan terhasil bermula dengan gol pembukaan Terengganu menerusi rembatan Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-66.
Pasukan tuan rumah yang beraksi kali pertama di bawah ketua jurulatih baharu Anthony Hudson bangkit mencetak dua gol dalam tempoh singkat hasil penyudah penyerang import Brazil, Raniel Santana masing-masing pada minit ke-71 dan ke-76.
Pemain tengah dari Jepun, Gakuto Notsuda meledak gol ketiga The Rabbits pada minit ke-83 sebelum pemain dari Singapura Ilhan Fandi melebarkan kedudukan dengan jaringan keempat pada minit ke-87.
Pada masa tambahan, Terengganu berjaya merapatkan kedudukan selepas Muhammad Safawi Rasid menyumbat gol pada minit ke-93 dan meraih jaringan peribadi keduanya selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-98, namun tidak mampu menyekat kemenangan pasukan lawan.
Sementara itu, baki aksi Kumpulan A menyaksikan PSM Makassar menumpaskan Dong A Thanh Hoa FC dari Vietnam 3-0 sementara PKR Svay Rieng menewaskan wakil Myanmar, Shan United FC 4-2.
PSM Makassar dijadual bertemu juara Kumpulan B Cong An Hanoi dari Vietnam pada aksi separuh akhir sementara BG Pathum United akan membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan B yang kini menjadi perebutan antara Buriram United, Kuala Lumpur City FC dan Borneo FC.
-- BERNAMA
#ACC 2024 25 #Terengganu FC #Kejohanan Kelab ASEAN 2024 25 #BG Pathum United #Thailand
;