ACC: Azizulhasni tarik diri dalam acara berpasukan
Astro Arena
Oktober 6, 2019 20:22 MYT
Oktober 6, 2019 20:22 MYT
TRIO pecut berbasikal trek berpasukan lelaki negara yang sedang mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerima tamparan besar apabila jaguh utama, Azizulhasni Awang, terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Korea Selatan minggu depan gara-gara kecederaan.
Bekas juara keirin dunia itu terpaksa menarik diri selepas mengalami keretakan jari telunjuk kanan kerana tersepit di gear basikalnya dua minggu lalu.
Tempatnya akan digantikan oleh pelumba muda, Faris Haiqal Abdul Kadir, untuk bergandingan bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Zonis.
Namun, The Pocket Rocketman tetap akan meneruskan cabarannya dalam acara keirin dan pecut individu bagi mengukuhkan pungutan mata kelayakan ke temasya terbesar dunia itu.
"Ketika berlatih, saya cuba untuk menarik tali keselamatan di kaki saya dan jari saya tersangkut dan tercucuk di mata gear.
"Ia menyebabkan keretakan tulang pada hujung jari itu dan isinya terkeluar, jadi saya terpaksa ke hospital untuk menjalani pembedahan kecil.
"Alhamdulillah, semuanya baik, cuma sekarang ini masih dalam proses pemulihan," katanya.
Ketiadaan Azizulhasni dalam acara pecut berpasukan akan menambahkan tekanan skuad negara untuk layak ke Tokyo.
Ketika ini, Malaysia menghuni ranking ke-15 dunia dengan hanya lapan pasukan terbaik akan layak secara automatik.
"Gear yang digunakan Faris Haiqal dan Azizulhasni memang berbeza. Cara pecutan mereka juga berbeza, jadi kami perlu membiasakan diri dengan menukar gear daripada yang berat kepada yang ringan sedikit," kata Shah Firdaus.
#acc
#Azizulhasni Awang
#azizulhasni cedera
#jaguh keirin
#kecederaan
#kejohanan berbasikal trek asia
#Korea Selatan
#retak tulang jari
#tarik diri