ACC 2023: Pelumba negara kuasa besar Asia tiba di Malaysia

Bernama
Jun 11, 2023 04:45 MYT
Tumpuan peminat sukan tanah air semestinya bakal terarah kepada Azizulhasni dan Muhammad Shah yang menjadi sandaran menyambar emas dalam acara masing-masing. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Bahang Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 kian terasa apabila kebanyakan pelumba negara kuasa besar sukan itu di benua ini seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong sudah tiba di tanah air sejak Sabtu lepas.
Perkara itu dimaklumkan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab yang berkata pelumba dari Taiwan antara kontinjen terawal tiba pada 30 Mei dan telah membuat persediaan sebaik mendarat di Malaysia.
"Setakat hari ini, apa yang dimaklumkan kepada saya oleh pihak sekretariat, hampir semua negara peserta sudah sampai, hanya tiga negara peserta iaitu Thailand, Indonesia dan India belum tiba.
Saya jangkakan kesemua pelumba dari ketiga-tiga negara itu akan sampai esok (Isnin) kerana sesi latihan rasmi akan bermula Isnin dan Selasa nanti," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan PKBM semalam.
Sebanyak 17 negara termasuk Malaysia mengesahkan penyertaan pada perlumbaan berprestij yang bakal diadakan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan dari 14 hingga 19 Jun ini.
Selain beberapa gergasi Asia, negara lain yang akan beraksi adalah Kazakhstan, Macau, Arab Saudi, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Uzbekistan, Iran dan Laos.
Lebih 400 pelumba termasuk 60 pelumba para (orang kurang upaya) bakal mengambil bahagian pada kejohanan itu yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam pada itu, Abu Samah berkata PKBM sentiasa mengalu-alukan pelumba terbaik dari rantau Asia untuk membuat perhitungan kali ini selepas kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada 2018.
"Saya percaya kejohanan kali ini menjadi perlumbaan terbaik Asia dalam memungut mata penting untuk melayakkan mereka beraksi pada Sukan Olimpik di Paris tahun depan.
"Begitu juga dengan barisan pelumba Malaysia yang pastinya mahu mengambil peluang masing-masing beraksi di tempat sendiri bagi mencipta kejayaan di tanah air tercinta," katanya.
Tumpuan peminat sukan tanah air semestinya bakal terarah kepada jaguh negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang menjadi sandaran menyambar emas dalam acara masing-masing.
Mohd Azizulhasni yang digelar "The Pocket Rocketman" sebelum ini dilaporkan mahu mencipta legasi tersendiri di pentas ACC 2023 selepas pernah merangkul 10 pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa sepanjang menyertai perlumbaan berprestij Asia itu sejak 2007.
-- BERNAMA
#ACC 2023 #Sukan Olimpik Paris 2024 #Abu Samah Abd Wahab #pelumba
;