Acara UFC 257 'Poirier vs McGregor' raih 1.6 juta pembelian 'pay-per-view'

Hilmi Ismail
Januari 27, 2021 12:55 MYT
Walaupun tewas pada di tangan Justin Poirier, McGregor masih boleh berbangga dengan pencapaian terbaharu ini. - Gambar REUTERS
'THE NOTORIOUS' Conor McGregor sekali lagi membuktikan dia masih mampu membawa keuntungan besar buat UFC.
Terbaharu, acara 'pay-per-view' (PPV) UFC 257 yang berlangsung pada Ahad lepas di 'UFC Fight Island' di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dilaporkan telah mendapat pembelian sebanyak 1.6 juta.
Difahamkan, harga untuk satu pembelian PPV adalah AS$69.99 (kira-kira RM283).
Laporan yang dikeluarkan oleh Sport Business Journal itu menyebut, 1.2 juta pembelian PPV telah diperolehi dari Amerika Syarikat, manakala baki 400,000 pembelian adalah dari pelanggan di negara-negara lain.
Jumlah pembelian PPV tersebut menjadikannya acara PPV kedua tertinggi dalam sejarah UFC.
Sebagai rekod, PPV tertinggi yang pernah dicatat organisasi itu adalah acara UFC 229 'Khabib vs McGregor' yang berjaya memperolehi sebanyak 2.6 juta pembelian PPV.
BACA: UFC 257: Dustin Poirier 'musnahkan' McGregor di pusingan kedua
BACA: UFC 257: Apa selepas ini buat Poirier dan McGregor?
Dengan kejayaan terbaharu ini, bintang dari Ireland itu kini terlibat dalam penjualan lima acara PPV tertinggi dalam sejarah sukan MMA.
Malah, tujuh daripada 10 acara PPV dengan penjualan tertinggi turut melibatkan McGregor.
Walaupun tewas di tangan Justin Poirier, McGregor masih boleh berbangga dengan pencapaian ini.
McGregor juga masih menyatakan minat untuk kekal aktif bertarung dalam tahun ini, dan pertarungan semula bersama Poirier merupakan salah satu pertarungan yang diidamkannya.
#UFC #Conor McGregor #Dustin Poirier #MMA #PPV #pay per view #The Notorious #Khabib vs McGregor #Khabib Nurmagomedov #Poirier vs McGregor
;