Acara pecut berpasukan ada peluang beraksi di Olimpik - Azizulhasni
Bernama
September 1, 2018 06:53 MYT
September 1, 2018 06:53 MYT
Pelumba negara mempunyai peluang untuk beraksi dalam acara pecut berpasukan di Sukan Olimpik Tokyo 2020 berdasarkan kepada prestasi yang dipamerkan dalam temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, kata Mohd Azizulhasni Awang.
"Kalau dibandingkan catatan masa yang dibuat di Sukan Asia 2018, kita (catatan masa) berada di kedudukan kelapan jika dibandingkan dengan keputusan dalam Kejohanan Dunia yang lepas.
"Memang ada peluang yang besar pecut berpasukan dapat beraksi di Olimpik 2020," kata Mohd Azizulhasni ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) di sini, pada Sabtu.
Pada 27 Ogos lepas, skuad berbasikal trek negara mempamerkan kayuhan cemerlang dengan melakar rekod baharu Sukan Asia pada pusingan kelayakan acara pecut berpasukan lelaki di Velodrom Antarabangsa Jakarta.
Bagaimanapun, katanya semuanya bergantung kepada percaturan dan program yang akan dirancang ketua jurulatih, John Beasley.
Trio negara diketuai Mohd Azizulhasni bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis melakar masa 43.934s, sekali gus memadam rekod terdahulu iaitu 44.406s yang dicipta pasukan China pada edisi 2010 di Guangzhou, China.
Catatan masa itu turut memadam rekod kebangsaan 44.752s yang dicipta beliau bersama-sama Mohd Rizal Tisin dan Josiah Ng pada Sukan Olimpik Beijing 2008.
Mengenai prestasi keseluruhan pada temasya Sukan Asia kali ini, Mohd Azizulhasni berkata secara peribadi beliau berjaya mencapai sasaran untuk mencapai satu pingat emas walaupun bukan melalui acara kegemarannya, keirin.
"Sebenarnya kejayaan di Sukan Asia kali ini melebihi sasaran peribadi dan juga persatuan (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia). Ini pencapaian terbaik skuad berbasikal trek dalam Sukan Asia.
"Bukan hanya sebutir pingat emas, malahan saya dan rakan-rakan turut membawa pulang satu perak dan satu gangsa. Sememangnya saya kecewa tidak menang pingat emas dalam keirin...dalam perlumbaan, apa-apa sahaja boleh berlaku. Walaupun kita berada dalam keadaan baik, belum tentu kita boleh menang," katanya.
Menurutnya, satu analisa mengenai prestasi dan perlumbaan semasa di Sukan Asia Jakarta-Palembang akan dibuat oleh Beasley.
"Buat masa sekarang, kami diberi tempoh berehat...untuk merehatkan minda danfizikal sebelum kembali berlatih. Tak tahu berapa lama, mungkin seminggu,mungkin dua minggu, bergantung kepada Beasley," katanya.
Selepas ini tumpuan akan diberikan kepada siri Piala Dunia Berbasikal Trek UCI bulan depan di Perancis (19-21 Okt) dan Kanada (26-28 Okt).
"Di sini, kami akan cuba mengutip mata sebaik mungkin untuk beraksi di Kejohanan Dunia dan sekali gus mencari peluang melayakkan diri ke Sukan Olimpik," katanya.
-- BERNAMA