Acara digugur, Perak mungkin hilang potensi menangi dua pingat emas
Bernama
Ogos 20, 2022 18:21 MYT
Ogos 20, 2022 18:21 MYT
IPOH: Kontinjen Perak berdepan risiko kehilangan dua pingat emas yang berpotensi dimenangi negeri itu apabila beberapa acara sukan olahraga dan terjun, digugurkan daripada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Kuala Lumpur.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Khairul Shahril Mohamed berkata kontinjen Perak menyasarkan 50 pingat emas pada temasya berkenaan, berpotensi meraih emas dalam acara olahraga.
"Saya berasa terkejut dan kecewa apabila keputusan beberapa acara sukan dalam Sukma digugurkan, kerana ada atlet yang telah lama mengadakan latihan sebagai persiapan untuk ke Sukma dan ia sudah tentu merugikan industri sukan khususnya," katanya kepada pemberita di sini.
Baru-baru ini, media melaporkan beberapa acara sukan olahraga dan terjun terpaksa digugurkan daripada Sukma seperti 10,000 jalan kaki, lompat bergalah, baling tukul besi dan lontar peluru, kerana tidak mencukupi syarat minimum enam penyertaan negeri.
Untuk rekod, sukan terjun turut menerima tempias bagi edisi kali ini, atas sebab sama yang menyaksikan lima acara wanita 1 meter (m) papan anjal, 3m papan anjal, 10m platform, 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama turut digugurkan.
Temasya yang dijadual berlangsung dari 16 hingga 24 Sept depan mensyaratkan sekurang-kurangnya enam kontinjen negeri mengambil bahagian dalam setiap acara sukan bagi membolehkan ia dipertandingkan.
-- BERNAMA
#Kontinjen Perak
#acara digugur
#pingat emas
#Sukan Malaysia
#SUKMA
#khairul shahril mohamed
#Kuala Lumpur
#terjun
#olahraga