Acara breakdance wanita dibatalkan

Astro Arena
November 29, 2019 09:02 MYT
Beberapa negara menarik diri dari mengambil bahagian dalam acara breakdance wanita pada saat akhir, menyebabkan perubahan acara terpaksa dilakukan. - Foto Astro ARENA
ACARA breakdance wanita terpaksa dibatalkan dan dijadikan acara pertunjukan dalam Sukan SEA Filipina bermula Sabtu ini gara-gara tidak cukup penyertaan sementara 17 acara lain yang membabitkan atlet Malaysia berdepan risiko tiada kalungan pingat gangsa.
Beberapa negara menarik diri pada saat-saat akhir yang menyaksikan perubahan acara terpaksa dilakukan.
Mesyuarat Eksekutif Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) memutuskan acara breakdance wanita hanya akan dijadikan acara pertunjukan kerana hanya disertai dua negara.
Baki 17 acara lain pula hanya disertai tiga negara.
Dua daripada acara itu turut membabitkan atlet Malaysia, iaitu heptatlon dan taekwondo kyorugi 80 kilogram lelaki.
Berdasarkan amalan terdahulu, hanya pemenang pingat emas dan perak akan dikalungkan pingat jika acara itu hanya membabitkan tiga peserta.
"Jadi tiga kerana ada (pasukan) menarik diri pada saat-saat akhir.
"Berdasarkan pendaftaran, ada empat pasukan tetapi mereka menarik diri.
"Jadi, bukanlah salah atlet mahupun pegawai," kata Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abd Azim Mohd Zabidi.
"Ada acara yang disertai tiga negara tetapi mereka menghantar dua wakil.
"Jadi, aspek itu juga perlu kita lihat," tambah Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, pula.
#Abd Azim Mohd Zabidi #acara pertunjukan #atlet #batal #breakdance #Filipina #heptatlon #Malaysia #Mohd Nazifuddin Mohd Najib #pingat gangsa #SEAGF #Sukan SEA #taekwondo #tidak cukup penyertaan #wanita
;