AC Milan tagih kudrat Leao di San Siro
Sinar Harian
Mei 16, 2023 09:00 MYT
Mei 16, 2023 09:00 MYT
MESIN gol AC Milan, Rafael Leao mungkin cergas untuk menentang Inter Milan dalam perlawanan kedua separuh akhir Liga Juara-Juara.
Pengendali Milan, Stefano Pioli berkata, itu memberikan dorongan besar kepada harapan pasukannya untuk membalikkan defisit dua gol.
Sebagai rekod, bintang sayap Portugal berusia 23 tahun terlepas aksi ketika Milan tewas 0-2 pada perlawanan pertama, selain turut disisihkan semasa kekalahan mengejut kepada Spezia dalam Serie A selepas mengalami kecederaan paha dalam kemenangan liga Milan ke atas Lazio awal bulan ini.
Leao merupakan antara pemain paling berpengaruh di Milan musim ini dan mencatatkan 13 gol dan 10 bantuan gol dalam semua kejuaraan.
"Dia semakin lebih baik, begitu juga (Rade) Krunic dan (Junior) Messias. Jika semuanya berjalan seperti sepatutnya, mereka akan tersedia untuk latihan petang ini dan untuk perlawanan esok," kata Pioli ketika ditanya status Leao sebelum perlawanan timbal balik.
Dalam pada itu, Pioli yakin Milan akan dapat bangkit semula di San Siro selepas kekalahan pada perlawanan pertama minggu lalu yang mengecewakan apabila mereka bolos dua kali dalam 10 minit pembukaan.
Juara Eropah tujuh kali Milan belum mara ke final Liga Juara-Juara sejak kemenangan terakhir mereka pada 2007.
“Kami mempunyai matlamat penting dalam fikiran - untuk memenangi perlawanan dan untuk layak ke perlawanan akhir, yang tiada siapa yang akan meramalkan, sama seperti pada awal tahun ini tiada siapa yang akan meramalkan kehadiran kami di separuh akhir.
“Kami tidak bercakap mengenai Spezia, hanya mengenai esok... Kami tahu kami bermula dengan kelemahan, tetapi kami juga mempunyai kualiti membalikkannya.
"Sekarang lebih daripada sebelumnya, tiada siapa yang menyangka Milan boleh mara ke final. Saya tahu kami boleh bermain permainan yang hebat dan tahu betapa kuatnya pemain Milan... Kami telah melakukan beberapa kesilapan, tetapi masa lalu tidak relevan," kata Pioli. - Sinar Harian