Abu Samah kekal Presiden PKBM, KJ rebut jawatan Naib Presiden
Bernama
Februari 10, 2023 21:49 MYT
Februari 10, 2023 21:49 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Abu Samah Abd Wahab terus diberikan kepercayaan untuk menerajui pucuk kepimpinan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi tempoh 2023 hingga 2026.
Menerusi kenyataan dikeluarkan PKBM, Abu Samah yang merupakan Presiden badan induk itu sejak 1990, tidak dicabar mana-mana ahli gabungan lain selepas borang pencalonan ditutup 12 tengah hari tadi.
Perkembangan tersebut menyaksikan Abu Samah secara rasminya menang tanpa bertanding pada pemilihan barisan kepimpinan tertinggi PKBM yang dijadualkan berlangsung pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 18 Feb ini.
Pada AGM itu, Yunus Ibrahim akan mempertahankan kerusi Timbalan Presiden berdepan saingan daripada Datuk Amarjit Singh Gill dan Mazlan Md Jail, masing-masing Naib Presiden PKBM pada penggal sebelum ini.
Manakala jawatan Naib Presiden PKBM bakal menyaksikan pertembungan 10 penjuru untuk mengisi lima kerusi yang dipertandingkan untuk jawatan tersebut.
Bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin Abu Bakar yang juga Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) antara calon bagi jawatan tersebut dan bakal berdepan Amarjit Singh, Firdaus Arshad, Mohd Saiful Abdul Jalil, Nohazlee Md Zaki, Mohd Asri Abd Mubin, Mohd Yusof Abd Nasir, Muhammad Firdaus Dawod, Norazman Ab Samah dan Dr Za'im Ahmad.
-- BERNAMA