ABM lantik Robosin sebagai Ketua Jurulatih Remaja yang baharu
Bernama
Oktober 14, 2023 18:20 MYT
Oktober 14, 2023 18:20 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas pemain badminton Indonesia dan pemenang pingat emas Kejohanan Asia, Jeffer Rosobin dijadual menjalankan tugas selaku Ketua Jurulatih Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang baharu mulai bulan hadapan.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata Rosobin dipilih untuk membimbing pemain remaja berdasarkan rekod prestasinya dalam menggilap bakat pemain perseorangan wanita Indonesia terkemuka semasa, Gregoria Mariska Tunjung selain pencapaian peribadinya selaku Juara Perseorangan Lelaki Kejohanan Asia pada 1996.
"Kami percaya Jeffer memiliki kualiti yang diperlukan untuk memberi tunjuk ajar dan bertindak dengan berkesan bersama-sama Pengarah Kejurulatihan ABM Rexy Mainaky.
Buat masa sekarang kami sedang menanti kelulusan visanya dan kami jangka beliau akan menyertai kami pada 1 Nov ini," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM ketiga 2023 di sini hari ini.
Mohamad Norza berkata beliau telah menyenarai pendek beberapa calon untuk menggantikan Datuk Misbun Sidek dan mengemukakan senarai nama itu kepada Rexy untuk kelulusannya.
"Semua KPI (petunjuk prestasi utama) senior dan remaja di bawah Rexy, jadi tentu sekali dia harus memilih seorang yang berkelayakan. Mungkin Rexy sudah biasa dengan pencapaian prestasi Jeffer dan itu mungkin antara sebab beliau membuat keputusan tersebut," katanya.
Pada masa sama, Mohamad Norza percaya Rosobin akan membawa peningkatan skuad perseorangan remaja wanita ke tahap yang lebih baik kerana jurulatih dari Indonesia itu telah membimbing Gregoria sehingga muncul sebagai juara perseorangan perempuan pada Kejohanan Remaja Dunia 2017 di Yogyakarta.
Sementara itu, Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia berkata mereka akan mengkaji keperluan mengekalkan latihan skuad remaja bersama senior kerana langkah berkenaan membuahkan hasil selepas mereka membawa pulang tiga pingat gangsa pada Kejohanan Remaja Dunia di Spokane, Washington, Amerika Syarikat.
Dua beregu kebangsaan menamatkan kempen Kejohanan Remaja Dunia 2023 mereka dengan masing-masing memperoleh gangsa selepas tewas kepada lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir di Spokane, baru-baru ini.
Beregu campuran Low Han Chen-Chan Wen Tse tewas 14-21, 14-21 kepada pemain pilihan utama kejohanan dari China Zhu Yi Jun-Huang Ke Xin.
Dalam acara beregu lelaki, Bryan Jeremy Goonting-Aaron Tai juga menerima nasib serupa apabila ditundukkan 18-21, 21-15,14-21 oleh gandingan Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng dari Taiwan dalam set penentuan.
Malaysia juga meraih gangsa dalam acara berpasukan campuran selepas kalah 0-3 kepada China dalam aksi separuh akhir.
-- BERNAMA
#BAM
#Mohamad Norza Zakaria
#Ketua Jurulatih Remaja
#Jeffer Rosobin
#badminton
#Akademi Badminton Malaysia
#Misbun Sidek