Abdul Rashid komited tabur bakti kepada MSN

Bernama
April 6, 2024 09:35 MYT
Abdul Rashid mula mengemudi MSN pada 1 Nov lepas dan bersara wajib pada 1 April tahun ini namun kembali ditawarkan kontrak baharu bermula Khamis lepas hingga April tahun depan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Rashid Yaakub komited menabur bakti dengan memberi penekanan kepada tata kelola baik untuk terus 'mengangkat' badan induk itu maju pada masa hadapan.
Abdul Rashid, 60, yang kekal menerajui MSN hingga April tahun depan berkata pihaknya akan mengambil inisiatif dengan mengkaji akta sedia ada untuk dipinda mengikut keperluan serta kesesuaian semasa.
Beliau turut memaklumkan perubahan prosedur operasi standard (SOP) bagi memudahkan penyaluran peruntukan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan untuk melaksanakan program pembangunan seperti podium, pelapis kebangsaan dan sebagainya antara yang menjadi keutamaan.
"Sebenarnya akta MSN ini agak lama tahun 1971, dah lebih kurang 50 tahun. Jadi kita perlu pinda supaya peruntukan dalam akta itu lebih semasa kerana peruntukan itu mungkin ada sebahagiannya agak sedikit ketinggalan.
"Contohnya semua maklum kita melibatkan diri dengan atlet para bermula 2007-2008 yang lepas jadi lebih baharu. Jadi perlu melihat kembali kita dapat merangkumi semua pihak berkepentingan tentang perkara ini," katanya.
Abdul Rashid berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Warga Sukan di MSN Bukit Jalil di sini malam tadi yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Timbalannya Adam Adli Abd Halim.
Beliau tidak menolak pelantikannya semula adalah bagi memastikan kelancaran usaha dilakukan semua pihak terutamanya dengan kehadiran dua temasya besar tahun ini iaitu Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Paralimpik Paris 2024.
"...daripada tahun dulu kita dah bersedia cuma persiapan akhir ini sangat penting. Banyak persiapan dah dibuat, mungkin sebahagiannya belum sampai peringkat maksimum tapi kita menuju ke arah tersebut.
"Yang penting kita dapat menyediakan atlet dan jurulatih dalam situasi terbaik untuk memberi cabaran di peringkat tertinggi di dunia. Dan kita mengharapkan pencapaian terbaik dan kalau ada rezeki, insya-Allah mungkin kita dapatlah pingat emas itu," katanya.
Abdul Rashid mula mengemudi MSN pada 1 Nov lepas dan bersara wajib pada 1 April tahun ini namun kembali ditawarkan kontrak baharu bermula Khamis lepas hingga April tahun depan.
-- BERNAMA
#Abdul Rashid Yaakub #Majlis Sukan Negara #pinda akta ikut keperluan #program pembangunan sukan
;