Aaron-Wooi Yik wakil tunggal Malaysia di Terbuka Jepun

Bernama
Julai 27, 2023 20:21 MYT
Beregu juara dunia itu hanya memerlukan masa 24 minit untuk menyingkirkan beregu nombor 14 dunia dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-12, 21-10 - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul sebagai penyelamat selepas wakil negara yang lain tersingkir apabila melangkah ke suku akhir Terbuka Jepun 2023, hari ini.
Beregu juara dunia itu hanya memerlukan masa 24 minit untuk menyingkirkan beregu nombor 14 dunia dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-12, 21-10 pada aksi pusingan kedua di Gimnasium Nasional Yoyogi, Tokyo.
Di saingan suku akhir esok, Aaron-Wooi Yik, beregu nombor empat dunia, akan menentang pilihan kelima kejohanan dan pilihan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, untuk memburu tempat ke separuh akhir.
Beregu tuan rumah itu mengesahkan slot suku akhir selepas mengatasi beregu China, Ren Xiang Yu-Tang Qiang 21-11, 23-21 dalam saingan selama 40 minit.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, yang mengejutkan juara dunia 2021, Loh Kean Yew dari Singapura semalam, gagal mengekalkan momentum kemenangan apabila tewas di pusingan kedua di tangan wakil Jepun, Koki Watanabe 17-21, 14-21 dalam masa 46 minit.
Pemain Jepun berusia 24 tahun itu, yang menyingkirkan juara dunia dua kali dan rakan senegara, Kento Momota, semalam, akan berdepan dengan pemain India, Lakshya Sen pada saingan suku akhir.
Dalam pada itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, gagal menebus kekecewaan tersingkir pada pusingan kedua di Terbuka Korea Selatan, minggu lalu, apabila tumpas sekali lagi di tangan beregu nombor tiga dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 15-21, 13-21 dalam tempoh 43 minit.
Nasib sama dialami beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila tewas kepada gandingan nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 11-21,13-21 dalam masa 34 minit.
KEPUTUSAN LAIN - PUSINGAN KEDUA
(NOTA: tanda [ ] pemain pilihan)
BEREGU LELAKI:
Lee Yang-Wang Chi Lin (TPE) mn [6] Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (MAS) 15-21, 21-18, 21-16
[8] Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (CHN) mn Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (MAS) 21-14, 21-17
BEREGU CAMPURAN:
Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran (THA) mn Chan Peng Soon-Cheah Yee See (MAS) 21-18, 19-21, 21-18
-- BERNAMA
#Aaron Chia-Soh Wooi Yik #Terbuka Jepun #badminton #suku akhir
;