Aaron-Wooi Yik nombor dua dunia, Zii Jia turun dua anak tangga
Bernama
Januari 24, 2023 19:06 MYT
Januari 24, 2023 19:06 MYT
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik naik satu anak tangga ke kedudukan kedua dalam ranking terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini selepas meraih 84,518 mata daripada 16 kejohanan yang disertai mereka.
Berdasarkan kedudukan ranking terbaharu itu, Aaron-Wooi Yik kini berada di belakang pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto yang kekal sebagai gandingan nombor satu dunia dengan 92,855 mata.
Kejayaan muncul naib juara Terbuka India di New Delhi pada Ahad lepas (22 Jan) membantu Aaron-Wooi Yik untuk meraih kedudukan tertinggi dalam kerjaya mereka.
Manakala pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tergelincir satu anak tangga ke kedudukan sembilan dunia.
Gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula terkeluar daripada kelompok 10 terbaik apabila turun satu tangga ke kedudukan 11 dunia susulan prestasi kurang memberangsangkan apabila tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia dan Terbuka India.
Dalam pada itu, beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah melonjak dua anak tangga untuk berada pada kedudukan enam dunia apabila berjaya meraih 69,955 mata daripada 16 kejohanan yang disertai.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia terpaksa akur apabila ranking dunianya jatuh dua anak tangga ke kedudukan empat dunia susulan dua kekalahan berturut-turut di pusingan awal pada kejohanan musim ini dengan 76,588 mata.
Pemain berusia 25 tahun itu ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia selepas tewas kepada Kodai Naraoka dari Jepun awal bulan ini dan tersungkur di pusingan kedua Terbuka India, minggu lepas selepas tewas kepada pemain China, Li Shi Feng.
Tempat Zii Jia kini diisi pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting manakala seorang lagi wakil Indonesia Jonatan Christie memanjat satu anak tangga untuk berada di kedudukan ketiga dunia.
Viktor Axelsen dari Denmark kekal dengan statusnya sebagai pemain nombor satu dunia. - BERNAMA