Aaron-Wooi Yik, Mike Mahen pilihan utama Atlet Terbaik SAM 2022

Bernama
Ogos 28, 2023 06:00 MYT
Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dilihat sebagai pilihan utama meraih gelaran Atlet Terbaik SAM 2022. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Beregu badminton lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan atlet bina badan, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dilihat sebagai pilihan utama meraih gelaran Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022, malam, Selasa.
Beregu negara itu mencipta sejarah muncul selaku pemain dan gandingan pertama negara menjadi juara pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, Ogos tahun lalu sekali gus dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2022.
Mohd Syarul Azman atau lebih dikenali Mike Mahen, menjadi tumpuan apabila meraih gelaran juara dunia buat kali kelima pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Phuket, Thailand, pada Disember lalu dalam kategori 'athletic physique' atas 167cm, selepas Sazali Samad menjadi atlet bina badan terakhir untuk menerima anugerah itu pada 2013.
Selepas meraih gelaran sulung pada 2016, atlet berusia 50 tahun itu berjaya mempertahankannya pada 2017, 2018 dan 2019, namun terlepas gelaran juara pada edisi 2021, manakala tiada kejohanan dianjurkan pada 2020 susulan pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, kedua-dua juara dunia itu menerima tentangan daripada juara Kejohanan Snuker Amatur Dunia, Lim Kok Leong, pemenang pingat emas acara angkat berat 55kg lelaki di Sukan Komanwel Birmingham, Muhammad Aniq Kasdan dan pemenang dua emas di temasya sama, iaitu atlet gimrama Ng Joe Ee yang juga Olahragawati Kebangsaan 2022.
Anugerah Atlet Para Terbaik 2022 menyaksikan saingan sengit dua jaguh dunia, Cheah Liek Hou (badminton para) dan Bonnie Bunyau Gustin (Powerlifting), selain Nani Shahiera Zawawi (olahraga) serta dua atlet renang, Brenda Anellia Larry dan Carmen Lim, turut disenarai pendek.
Rekod tanpa kalah yang dipegang Liek Hou selaku juara badminton para dunia tujuh kali musim lepas serta kejayaan menjuarai Kejohanan Para Dunia pada November lepas meletakkan beliau sebagai pilihan untuk dinobatkan juara.
Bonnie Bunyau, 24, pula tidak kurang hebatnya apabila menepati ramalan meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham dengan memecahkan rekod temasya menerusi angkatan 220kg.
SAM, menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan pemenang Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2022 masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi pada majlis yang akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Sementara itu, warga media sukan juga berpeluang memenangi hadiah melalui enam kategori anugerah kewartawanan yang dipertandingkan - Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.
Satu anugerah baharu turut diperkenalkan pada tahun ini iaitu Anugerah Pengulas Sukan Popular yang pemilihannya dijalankan berdasarkan undian terbanyak dilakukan secara dalam talian bermula 22 hingga 27 Ogos.
Pemenang keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai pemenang trofi Anugerah Siebel dan menerima hadiah wang tunai RM7,000.
-- BERNAMA
#Aaron Chia #Soh Wooi Yik #Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah #Atlet Terbaik SAM 2022
;