Aaron-Wooi Yik cemas sebelum ke pusingan kedua

Bernama
Januari 8, 2025 05:15 MYT
Soh Wooi Yik berkata kesukaran mereka untuk menyesuaikan diri dengan angin kuat mungkin menjadi faktor kekalahan mereka pada set kedua. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa bermandi peluh bagi memastikan kemaraan ke pusingan kedua selepas berdepan detik cemas sebelum mengatasi gandingan Amerika Syarikat, Presley Smith-Chen Zhi Yi, pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia semalam.
Pasangan pilihan kelima, Aaron-Wooi Yik, memulakan kempen pembukaan musim mereka di Axiata Arena Bukit Jalil dengan permulaan cerah, meraih kemenangan set pertama 21-15.
Namun, bekas juara dunia itu kelihatan hilang fokus dan banyak melakukan kesilapan mudah, memberi peluang kepada Smith-Zhi Yi untuk bangkit memenangi set kedua 21-16.
Bagaimanapun, pasangan nombor enam dunia itu segera menemui rentak mereka dan mara ke pusingan kedua dengan kemenangan 21-10 yang cukup meyakinkan dalam masa 57 minit.
Wooi Yik berkata kesukaran mereka untuk menyesuaikan diri dengan angin kuat mungkin menjadi faktor kekalahan mereka pada set kedua.
"Pada set kedua, kami terpaksa berhadapan dengan arah angin yang kuat dan lawan pula menyerang dengan sangat agresif," katanya kepada wartawan mengenai pertemuan pertama dengan pasangan Amerika Syarikat itu.
Menanti Aaron-Wooi Yik di pusingan kedua adalah pasangan Taiwan, Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen, yang menewaskan rakan senegara mereka, Liu Kuang Heng-Yang Po Han, dengan keputusan 21-16, 21-12.
Beregu lelaki profesional negara Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, menjadi wakil negara ketujuh dan terakhir yang berjaya melangkah ke pusingan kedua selepas mencatatkan kemenangan dalam perlawanan tiga set 21-15, 12-21, 21-18 menentang wakil China Xie Hao Nan-Zeng Wei Han dalam tempoh satu jam.
Cabaran sukar menanti pasangan yang berada di kedudukan ke-32 dunia ini hari ini (Khamis) apabila mereka akan bertemu pasangan pilihan ketujuh dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, yang menewaskan Ming Che Lu-Tang Kai Wei dari Taiwan 21-10, 16-21, 21-5.
Sementara itu, beregu wanita muda negara Ong Xin Yee-Carmen Ting gagal mencipta kejutan dalam penampilan pertama apabila tewas 15-21, 15-21 kepada pasangan Taiwan Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui.
Pada pusingan kedua, Aaron-Wooi Yik dan Nur Azriyn-Wee Kiong akan disertai oleh dua lagi beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun diikuti dengan dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, serta beregu wanita profesional Vivian Hoo-Lim Chiew Sien.
-- BERNAMA
#Aaron Chia-Soh Wooi Yik #badminton #Terbuka Malaysia
;