Aaron sedia mental, fizikal bagi aksi di Masters Malaysia 2023

Bernama
Mei 22, 2023 23:26 MYT
Aaron dan pasangannya Soh Wooi Yik, tidak akan menjadikan jadual padat sebagai alasan untuk aksi kurang memuaskan. - Gambar FB BAM
KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara Aaron Chia sudah bersedia dari aspek mental dan fizikal bagi mempamerkan aksi terbaik di Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2023 yang akan membuka tirai esok di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Aaron dan pasangannya Soh Wooi Yik, yang kini menduduki ranking kedua dunia, tidak akan menjadikan jadual padat sebagai alasan untuk aksi kurang memuaskan meskipun mereka baru sahaja tiba di Malaysia pagi tadi selepas menamatkan saingan Piala Sudirman di Suzhou, China pada Sabtu.
"Saya rasa sebagai seorang pemain memang sentiasa bersedia keadaan yang baik dan teruk. Kita tidak boleh bagi alasan perjalanan letih ke apa dan bila dalam gelanggang, kita memang bagi yang terbaik.
"Macam saya cakap beregu lelaki memang tidak kisah pemain Indonesia, Denmark atau China, jadi kena sentiasa bersedia bermula dari pusingan pertama sudah berdepan perlawanan yang sukar sampai final pun perlawanan sukar," katanya kepada pemberita selepas sesi uji gelanggang di sini hari ini.
Juara dunia 2022 itu akan melakukan perhitungan dengan pasangan Indonesia Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan-Pramudya Kusumawardana pada pusingan pertama esok.
Pemain badminton beregu wanita negara Pearly Tan pula enggan memikirkan penyingkiran seawal pusingan pertama di Terbuka Malaysia Januari lepas sebaliknya menikmati perlawanan di laman sendiri pada penampilan kali ini bagi membuahkan hasil.
"Yang lepas tu, lepaslah jadi kami tidak terlalu memikirkannya, kami hanya berharap untuk kembali beraksi dengan lebih baik," katanya.
Pearly Tan dan pasangannya M. Thinaah, yang turun sebagai pilihan keenam kejohanan, bakal bertemu pasangan adik-beradik Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria pada pusingan pertama esok.
-- BERNAMA
#badminton #kaman sendiri #pilihan keenam #Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2023
;