Aaliyah sasar tampil lebih hebat di dua kejohanan utama
Bernama
Ogos 17, 2022 15:29 MYT
Ogos 17, 2022 15:29 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas cemerlang dengan empat pingat emas di Kejohanan Ski Air Asia di Chuncheon, Korea Selatan, atlet ski air negara Aaliyah Yoong Hanifah kini menyasarkan untuk tampil dengan prestasi lebih hebat pada dua kejohanan utama akan datang.
Atlet berusia 19 tahun itu berkata prestasinya kali ini menjadi petanda ke arah pencapaian yang lebih baik akan datang terutama pada penyertaannya di Kejohanan Oceania di Australia pada November ini dan Kejohanan Dunia Bawah 21 Tahun, tahun depan.
Walaupun pernah meraih empat emas pada edisi 2019, namun kejayaan sama pada kali ini lebih bermakna susulan keadaan lebih mencabar pada kejohanan tahun ini kerana beliau perlu menyesuaikan diri dengan keadaan angin kuat, hujan serta keadaan ombak dan model bot yang tidak pernah dialaminya sebelum ini.
"Ia pastinya satu pencapaian sangat memuaskan kerana saya bukan sahaja perlu menewaskan pesaing hebat tetapi juga untuk berdepan unsur cuaca sambil membiasakan diri dengan bot yang tidak biasa digunakan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aaliyah, pada kejohanan Oceania nanti, beliau menyasarkan untuk mempamerkan aksi terbaik dalam empat acara disertainya manakala untuk Kejohanan Dunia Bawah 21 Tahun, beliau menyasarkan podium dalam acara tricks dan keseluruhan.
Pada 12 Ogos lepas, Aaliyah menamatkan kempen Kejohanan Ski Air Asia dengan meraih pingat emas selepas mencatatkan 7,440 mata dalam acara tricks terbuka wanita.
Kecemerlangannya diteruskan dalam acara jump pada Sabtu selepas melakukan 40.6 meter (m) dalam aksi kelayakan dan 37.2m dalam aksi final untuk emas keduanya.
Aaliyah terus mendominasi pentas apabila meraih emas ketiga dalam acara slalom selepas melakukan 0.00/55kmh/13m sebelum melengkapkan emas keempatnya dengan muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 3000.00 mata.
-- BERNAMA