Aaliyah raih gangsa di Moomba Masters 2024
Bernama
Mac 11, 2024 05:15 MYT
Mac 11, 2024 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah meneruskan kecemerlangannya di Australia apabila meraih pingat gangsa keseluruhan wanita Kejohanan Moomba Masters 2024 di Melbourne semalam.
Atlet berusia 20 tahun yang membuat penampilan ke-11 di kejohanan berkenaan mengumpul keseluruhan 2215.25 mata dalam kejohanan berlangsung di Sungai Yarra.
Aliaksandra Danisheuskaya dari Amerika Syarikat memenangi pingat emas dengan 2911.11 mata diikuti wakil New Zealand Sade Ferguson yang mengumpul 2477.89 mata.
Bagaimanapun, Aaliyah terlepas podium dalam acara jump terbuka wanita apabila menamatkan saingan di tempat kelima selepas melakukan lompatan 44.5 meter dan keenam dalam acara tricks dengan 5,030 mata.
"Saya sangat teruja dapat tempat ketiga keseluruhan. Realitinya untuk saya berada di podium acara tricks atau jump boleh berlaku jika melakukan latihan intensif.
"Tapi saya tidak dapat melakukan latihan sebanyak itu enam bulan lepas kerana pelajaran dan peperiksaan di universiti.
"Saya tetap akan terus lakukan yang terbaik dan menyasarkan untuk menjadi antara atlet luncur air peringkat teratas dunia dalam masa terdekat," katanya.
-- BERNAMA