Aaliyah perbaharui rekod Asia di Florida

Bernama
April 22, 2024 17:13 MYT
Aaliyah (foto) mengumpul 8,450 mata mengatasi rekod miliknya sendiri yang dilakukan pada Terbuka Asia iaitu 8,080 mata di Fluid Summer Showdown pada Jun 2022. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah mempamerkan aksi cemerlang apabila mencatatkan rekod baharu Asia acara tricks pada kejohanan Swiss Pro Tricks di Florida pada Ahad.
Atlet berusia 20 tahun itu mengumpul 8,450 mata mengatasi rekod miliknya sendiri yang dilakukan pada Terbuka Asia iaitu 8,080 mata di Fluid Summer Showdown pada Jun 2022.
Bagaimanapun, rekod baharu itu tidak mencukupi untuk penamat podium buat Aaliyah apabila menduduki tempat keempat daripada 10 peserta dalam kejohanan jemputan untuk atlet luncur terbaik dunia.
Juara dunia acara tricks 2014 Erika Lang dari Amerika Syarikat muncul johan selepas mengutip 11,030 mata diikuti Neilly Ross dari Kanada (10,370 mata) dan seorang lagi wakil tuan rumah Anna Gay ketiga (9,390 mata).
Aaliyah yang meraih pingat gangsa di Kejohanan Dunia Bawah 21 Tahun di Mexico tahun lepas, bagaimanapun tetap berpuas hati dengan persembahannya pada kejohanan kali ini, berbanding tahun sebelumnya ketika bergelut dengan persiapan kejohanan dan juga akademik.
"Memberi tumpuan dalam pelajaran dan pada masa sama melakukan persiapan kejohanan bagi tiga acara iaitu tricks, jump dan slalom juga bukan sesuatu yang mudah. Tapi dengan persembahan kali ini, saya benar-benar berharap dapat melakukan lebih baik pada masa akan datang.
"Tahun ini adalah penting kerana masa untuk persiapan ke Sukan SEA 2025 (di Thailand) dan Kejohanan Terbuka Dunia IWWF 2025," kata penuntut Ijazah Sarjana Muda dalam Psikologi di Florida Southern College itu.
-- BERNAMA
#Aaliyah Yoong Hanifah #Swiss Pro Tricks #Fluid Summer Showdown #perbaharui rekod Asia
;