5 faktor kemegahan JDT tahun ini
Madiha Abdullah
November 1, 2015 10:33 MYT
November 1, 2015 10:33 MYT
Kejayaan Johor Darul Takzim (JDT) menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pastinya akan menjadi sebutan ramai bukan sahaja untuk seminggu dua ini, tetapi akan berterusan untuk jangka masa yang lama.
Masakan tidak, JDT menjadi pasukan tempatan pertama dari Malaysia yang menjulang piala berprestij itu, selain memecah monopoli pasukan dari Asia Barat yang sebelum ini silih berganti menjadi juara AFC.
Berdasarkan perbualan netizen di laman sosial, kami senaraikan lima faktor yang disebut-sebut menjadi penyumbang kemegahan nama JDT tahun ini.
TMJ
Tiada siapa yang boleh menafikan peranan Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Sultan Ibrahim, atau TMJ, sebagai nadi JDT. Penjenamaan semula JDT, yang diinspirasikan oleh TMJ, pada tahun 2013, membawa kesan yang besar dalam kancah bola sepak tanah air.
Bukan sahaja di Johor, malah idea dan kelantangan TMJ dalam menyuarakan isu berkaitan, banyak membantu membaik pulih beberapa aspek liga bola sepak tempatan.
Mario Gomez
Kehadiran Mario Gomez sebagai ketua jurulatih JDT bermula April lalu telah banyak membantu menukar rentak permainan JDT. Di bawah kendalian bekas pemain kebangsaan Argentina itu, JDT hanya tewas tiga kali dalam saingan Liga Malaysia.
Ini membuktikan Gomez bukan calang-calang dalam bidangnya.
Safiq Rahim
Nama kapten JDT ini mungkin layak dikategorikan sebagai antara pemain bola sepak paling berpengaruh di Malaysia. Suka atau tidak, hakikatnya peranan Safiq yang juga kapten pasukan kebangsaan banyak membantu kejayaan JDT.
Dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai dalam perlawanan akhir semalam, tidak mustahil Anugerah Pemain Paling Bernilai negara tahun ini menjadi milik Safiq.
Import
Tuah mempunyai organisasi kepimpinan yang baik dan tersusun, JDT tidak punya masalah dalam pemilihan pemain import berkualiti.
Jorge Pereyra Díaz, Luciano Figueroa dan Marcos Antônio masing-masing dibayar dengan harga yang mahal, namun pulangan yang diterima juga setimpal apabila tiga piala sudah 'selamat' dalam genggaman JDT tahun ini.
Penyokong
Menggelarkan diri mereka Boys of Straits (BOS), kumpulan penyokong tegar ini sentiasa ada walau di mana sahaja JDT beraksi. Sorakan dan nyanyian mereka di mana-mana stadium yang menjadi gelanggang perlawanan sering mengundang rasa kecut perut pasukan lawan.
Bukan itu sahaja, penyokong JDT antara yang cukup setia, malah sentiasa memenuhi stadium tidak kira ketika menang atau tewas.