4 pengadil Malaysia adili Liga Pro Maldives

Bernama
Disember 4, 2020 04:41 MYT
Prestasi empat pengadil tersebut akan dipantau rapi FAM melalui Unit Pengadil badan induk itu.
KUALA LUMPUR: Kewibawaan pegawai perlawanan tempatan mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa apabila empat pengadil kebangsaan bakal memikul tanggungjawab mengadili liga profesional Maldives musim 2020/2021.
Liga Perdana Dhiraagu Dhivehi, kelolaaan Persatuan Bola Sepak Maldives (FAM), disertai lapan pasukan.
Empat pengadil tersebut adalah Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah yang juga pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta Mohamad Faizudin Ismail, Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi Supian dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman.
Perkara itu disahkan sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Bernama semalam.
Keempat-empat pengadil kebangsaan yang dipilih Persatuan Bola Sepak Malaysia susulan undangan badan induk bola sepak Maldives itu, dijadual berada di negara kepulauan berkenaan dari 8 Dis hingga 31 Jan tahun depan.
Namun, tempoh tersebut boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan berdasarkan persetujuan kedua-dua badan induk itu.
Perkembangan membanggakan itu sekali gus dapat mengangkat kembali reputasi barisan pengadil tempatan selepas mutu pengadilan sering mendapat kritikan susulan prestasi kurang memuaskan segelintir pengadil kebangsaan dalam kancah saingan domestik.
Difahamkan, prestasi empat pengadil tersebut akan dipantau rapi FAM melalui Unit Pengadil badan induk itu.
Dalam pada itu, usaha Bernama mendapatkan reaksi daripada Jawatankuasa Pengadil FAM berhubung perkembangan positif itu belum mendapat maklum balas.
-- BERNAMA
#Persatuan Bola Sepak Malaysia #FAM #FIFA #bola sepak #Malaysia #pengadil #Maldives #liga pro #Liga Perdana Dhiraagu Dhivehi
;