367 hari direhatkan, Oxlade-Chamberlain gembira kembali beraksi
Astro Arena
April 27, 2019 14:00 MYT
April 27, 2019 14:00 MYT
ALEX Oxlade-Chamberlain berterima kasih kepada penyokong Liverpool kerana membantunya menghadapi tempoh sukar selepas membuat penampilan semula berdepan Huddersfield Town.
Oxlade-Chamberlain kembali beraksi selepas setahun diketepikan ekoran kecederaan ketika membantu pasukannya meraih kemenangan 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Pemain tengah itu hampir meledak gol ketika Liverpool meraih kemenangan, sekali gus kembali ke puncak liga.
Oxlade-Chamberlain berterima kasih kepada kelab dan penyokong kerana membuat penampilan semula.
"367 hari kemudian... saya tidak tahu bagaimana untuk meluahkan perasaan ini. Terima kasih semua yang membantu saya untuk kembali beraksi," kata Oxlade-Chamberlain menerusi Instagram.
"Tidak terlupa penyokong yang sentiasa bersama saya menghadapi tempoh sukar ini.
"Sambutan yang saya dapat malam ini adalah sesuatu yang akan dikenang sepanjang hayat. Terima kasih. #ynwa."
Dua jaringan daripada Sadio Mane dan Mohamed Salah –- selepas jaringan pembukaan Naby Keita pada minit pertama -- memastikan kemenangan besar Liverpool.
Pengurus, Jurgen Klopp, gembira menerima kepulangan Oxlade-Chamberlain di sebalik terkilan dengan peluang yang gagal dilunaskan pemain skuad England itu.
"Selepas lebih daripada setahun, pelan kami adalah memastikan dia kembali pulih sepenuhnya.
"Kami telah berjaya memastikan dia cergas sepenuhnya dan Oxlade-Chamberlain hampir menjaringkan gol dalam perlawanan ini."
Liverpool akan berkunjung ke Nou Camp untuk aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi Khamis ini.