30 kelab penyokong desak KDA FC beri penjelasan isu tunggakan gaji, pengganti CEO

Adie Sufian Zulkefli
Februari 4, 2024 14:27 MYT
Mohammad Adhan (tengah) bersama Nik Mohd Syarafan (dua kanan) dan Suhaimi (dua kiri) menunjukkan kenyataan media oleh 30 NGO yang menuntut penjelasan daripada KDA FC. -Astro AWANI
ALOR SETAR: Sebanyak 30 kelab penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memohon penjelasan daripada pemilik serta pihak pengurusan kelab berkenaan berhubung isu tunggakan gaji dan status​ pengganti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Wakil kelab penyokong, Mohammad Adhan Mat Aji berkata, semua pihak sedia maklum berhubung isu tunggakan gaji pasukan KDA FC seperti yang tular di laman media sosial sebelum ini.
"Penyokong KDA FC ingin mengetahui status tunggakan gaji dan status KDA FC di dalam saingan Liga Malaysia 2024 memandangkan sehingga kini tiada sebarang penjelasan yang dibuat oleh pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar mahupun pihak pengurusan.
"Selain isu gaji, penyokong turut dikejutkan dengan peletakan jawatan CEO KDA FC, Khamal Idris Ali.
"Kami (penyokong) ingin memohon penjelasan tentang isu yang sangat mengejutkan ini... apakah yang sedang berlaku dan siapa yang akan menggantikan jawatan CEO itu," katanya pada sidang media, di sini, pada Ahad.
Beliau berkata, penjelasan segera perlu diberikan memandangkan pemilik serta pihak pengurusan kelab seolah-olah tidak membuat sebarang persediaan untuk menghadapi Liga Malaysia.
"Sebagai penyokong, kami hanya mahukan penjelasan sama ada kelab ini masih kekal untuk bermain dalam saingan liga atau sebaliknya. Apa juga keputusan, kami terima dengan tangan terbuka.
"Kami juga memohon untuk diadakan pertemuan dengan pemilik dan pengurusan kelab bagi membolehkan mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang semua isu yang sedang berlaku, persiapan dan perancangan pasukan KDA FC untuk tahun 2024," katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Adhan berkata, pemilik dan pihak pengurusan akan sentiasa bersilih ganti tetapi penyokong-penyokong akan setia dan sentiasa berada di belakang pasukan sampai bila-bila.
"Sebelum ini, kami ada suarakan untuk mengadakan perjumpaan bersama pemilik dan pengurusan tetapi suara kami tidak diendahkan.
"Jadi, kali ini kami harap suara kami didengar dan perjumpaan akan diadakan bagi menjawab segala persoalan yang timbul dalam kalangan penyokong KDA FC," katanya.
Tunggakan gaji empat bulan pasukan KDA FC itu dari September itu sepatutnya selesai pada 31 Jan lalu seperti dipersetujui antara pemain dan pengurusan pasukan.
Bagaimanapun, difahamkan isu itu masih belum selesai dan pada Khamis lalu, Khamal Idris meletakkan jawatan sebagai CEO KDA FC selepas empat tahun menyandang jawatan berkenaan.
#KDA FC #tunggakan gaji #kelab penyokong Kedah Darul Aman FC #Khamal Idris Ali
;