3 kesan impak penaja ke atas sukan bola sepak di Malaysia

Faizal Rosly
Januari 21, 2016 14:42 MYT
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa (kanan) bersama Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman memegang surat perjanjian penajaan RM16 juta - fotoBERNAMA (2016)
Satu nama yang semakin gah meniti di bibir masyarakat adalah pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Vida.
Pengaruhnya bukan sekadar dalam iklan pemutihan wajah di kaca TV, malahan kini semakin banyak membuat kemunculan di rancangan hiburan mengalahkan artis tempatan.
Baru-baru ini, beliau melebarkan sayapnya dengan membuat keputusan untuk menaja pasukan bolasepak Kelantan, ataupun nama manja baru mereka Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.
MESTI BACA: 'Terlajak Puteh, Nampak?' papar harta jutawan
MESTI BACA: Hati Vida terguris apabila disumpah dalam dialek Kelantan
MESTI BACA: 'Tayang' kemewahan, Vida nafi mahu riak
MESTI BACA: Qu Puteh taja TRW: 5 syarikat kosmetik penaja acara sukan
MESTI BACA: Tajaan Vida Beauty beri nafas baharu pembangunan bola sepak Kelantan
Sehubungan dengan itu, syarikat kosmetik D’Herbs pula dikatakan mahu menaja pasukan Selangor dan Megah Perawan pula hampir pasti akan menjadi penaja PKNS.
Dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil serta kos perbelanjaan pengurusan yang semakin meningkat, tak hairanlah banyak pasukan yang masih bergelut untuk mencari penaja sebelum Liga Super 2016 bermula.
Kita harus mengkaji, apakah impak di sebalik penajaan seperti ini terhadap sukan bola sepak tempatan?

1) Hilang identiti?
Setelah mendengar syarat yang dikenakan oleh Vida, netizen khususnya penyokong TRW sendiri, menyuarakan kebimbangan terhadap identiti pasukan yang tercalar.
Bagaimana nak buat pihak lawan gentar setelah melihat stadium sendiri berwarna merah jambu?
Dengan jersi, stokin mahupun seluar dalam yang berwarna pink, penonton akan tertanya-tanya adakah hendak bermain bola ataupun pergi ke majlis harijadi bertemakan Hello Kitty?
MESTI BACA: Tidak wujud pertikaian warna jersi Red Warriors - Annuar
Dalam hal ini, penyokong tidak boleh menuding jari menyalahkan pihak penaja semata-mata, kerana pada akhirnya keputusan terletak di tangan persatuan bola sepak.
TRW kekal imej merah, penyokong berterima kasih
Penaja tiada obligasi terhadap identiti dan sejarah pasukan. Sebaliknya mereka ada kepentingan sendiri atas dasar perniagaan. Bukannya Vida ugut nak sapu krim Qu Puteh kat muka Tan Sri Annuar Musa jika tak terima syarat beliau bukan?
Ini bukan isu besar sebenarnya.
Penyokong harus berfikiran jauh dan menyedari syarat yang dikenakan hanyalah bersifat ’kosmetik‘ dan sementara . Selagi pihak penaja tidak masuk campur urusan pemilihan pemain mahupun formasi, abaikan saja ejekan cemburu penyokong pasukan lain.

2) Kekalkan stabiliti pasukan
Sebelum kebanjiran syarikat kosmetik menjadi penaja pasukan bola sepak tempatan, syarikat rokok pernah menjadi penaja utama Liga Malaysia.
Setelah syarikat rokok dilarang daripada menaja apa-apa aktiviti sukan termasuk bola sepak, ada pasukan yang jatuh muflis.
Dalam menguruskan sebuah pasukan bola sepak, jutaan ringgit diperlukan untuk menampung kos gaji pemain, pengangkutan dan penginapan, mahupun potongan wang KWSP.
MESTI TONTON [VIDEO]: Persatuan Pemain Profesional Malaysia tuntut gaji pemain
MESTI TONTON [VIDEO]: Gaji masih tertunggak, ramai pemain Perlis bersara awal
MESTI BACA: 'Bola sepak tiada masa depan kerana masalah gaji' - Kim Swee
Sudah banyak kali kita dengar berita tentang kegagalan persatuan bola sepak tempatan membayar gaji tepat pada waktunya.
Benar, jumlah tajaan yang kita terima adalah kecil berbanding dengan liga negara Eropah, namun begitu dengan adanya penaja seperti Vida, kestabilan sesebuah pasukan dapat dikekalkan untuk jangka masa yang panjang.

3) Menaikkan Taraf Bola Sepak Tempatan
Satu perkara yang pasti di sini, wang memainkan peranan yang penting dalam kejayaan pasukan bola sepak. Chelsea ataupun Manchester City adalah satu contoh yang ketara, dan di liga domestik kita dapat lihat transformasi JDT menjadi gergasi bola sepak Asia.
Betul, pasukan-pasukan yang saya sebut dimiliki oleh individu berpengaruh, namun tajaan besar daripada Qu Puteh dan D‘Herbs dapat meletakkan liga tempatan di landasan yang betul.
MESTI BACA: Pamoga Qu Puteh TRW lawan JDT?
MESTI TONTON [VIDEO]: Simposium jadi medan terbaik bincang bolasepak negara
MESTI BACA: Ada Ong (Kim Swee) ka?
Dengan sokongan kewangan yang kuat, pasukan bola sepak tempatan dapat menarik minat pemain yang lebih berkaliber, pembangunan akademi bola sepak daripada akar umbi, menaikkan taraf pusat latihan dan stadium, sekaligus meninggikan mutu dan reputasi liga bola sepak tempatan.
Siapa tahu satu hari nanti kita dapat lihat kelibat Memphis Depay meletakkan jari di bibir untuk pasukan Kelantan?
MESTI BACA: Main tak seberapa, tapi datang dengan Rolls Royce

Kesimpulan
Penyokong seharusnya tidak risau dengan trend penajaan daripada syarikat kosmetik ini dan boleh biarkan saja jutawan-jutawan tersebut bermain ‘Football Manager’ secara realiti.
Hakikatnya, persatuan bola sepak memerlukan penajaan untuk terus bersaing di liga bola sepak tempatan.
Jika dulu penaja syarikat rokok dituduh mengajak penonton untuk dapatkan kanser paru-paru, sekurang-kurangnya penaja seperti Qu Puteh dan Terlajak Laris dapat memupuk minat mencuci muka untuk menghilangkan jerawat batu.
Sekarang kita hanya tunggu masa Dr. Rozmey menyertai arena penajaan ini, mungkin beliau akan menaja pasukan Kedah dengan syarat pemain perlu memakai ‘bow tie’ dan mengenakan fesyen rambut cendawan.

* Faizal Rosly adalah seorang pemerhati media sosial dan juga peminat tegar Liverpool FC. Tweet @ijaicool atau ikuti blog beliau.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#bola sepak #bolasepak #D'Herbs #Kelantan #Megah Perawan #Pamoga #penajaan #Qu Puteh #TRW #Vida #Vida Beauty
;