3,000 anggota polis bertugas sepanjang Sukan SEA di Selangor

Bernama
Ogos 1, 2017 18:26 MYT
Sukan SEA dijadual berlangsung dari 14 hingga 30 Ogos ini dengan acara perasmian temasya dwitahunan itu pada 19 Ogos.
Sejumlah 3,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas bagi memastikan keselamatan di 12 venue temasya Sukan Sea 2017 di Selangor, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.
Beliau berkata balai polis bergerak akan disediakan di venue-venue besar yang menjadi tumpuan ketika temasya dwitahunan itu bagi memudahkan pengunjung membuat laporan sekiranya menjadi mangsa kejadian tidak diingini.
“Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis daerah telahpun memulakan latihan dalam memantapkan lagi kesiapsiagaan bagi memastikan keselamatan atlet dan pegawai sukan berada dalam keadaan selesa sepanjang tempoh sukan berlangsung.
“Pihak polis juga mengerahkan pasukan khas bagi mengendalikan kes bagi mereka yang menjadi mangsa jenayah sepanjang sukan itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau persiapan Sukan Sea 2017 di Stadium Shah Alam di sini hari ini.
Sukan SEA dijadual berlangsung dari 14 hingga 30 Ogos ini dengan acara perasmian temasya dwitahunan itu pada 19 Ogos.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata polis akan turut menempatkan mesin pengimbas di pintu masuk 12 venue sukan bagi tujuan keselamatan.
"Pengunjung yang menginap di hotel penginapan atlet yang berdekatan 12 venue sukan juga perlu melalui pemeriksaan sebagai langkah keselamatan," katanya.
-- BERNAMA
#keselamatan #polis #Selangor #Sukan SEA 2017 #Zulkifli Abdullah
;