24 pemain, pegawai Negeri Sembilan FC dilapor positif COVID-19

Astro Awani
Oktober 22, 2021 16:08 MYT
Kesemua mereka sedang menjalani kuarantin wajib di rumah serta dipantau selama 10 hari oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - Foto Facebook/NegeriSembilanFC
KUALA LUMPUR: Sejumlah empat pegawai dan 20 pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) dijangkiti penyakit COVID-19.
Kelab Bolasepak Negeri Sembilan yang mengesahkan perkara tersebut memaklumkan kesemua mereka sedang menjalani kuarantin wajib di rumah serta dipantau selama 10 hari oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Ujian pengesanan COVID-19 secara berterusan sedang dilakukan bagi kontak rapat para pemain dan pegawai NSFC yang terlibat," memetik kenyataan itu.
PBNS dalam masa sama memaklumkan, NSFC juga tidak dapat meneruskan baki saingan Piala Malaysia untuk musim ini.
"Selain itu, demi menjaga keselamatan semua pihak serta mengambil berat atas nasihat yang diberikan Doktor Pasukan, pihak NSFC ingin memohon setinggi-tinggi kemaafan kepada para penyokong pasukan kerana hal ini turut menyebabkan pembatalan perlawanan persahabatan menentang Kuching City FC yang sepatutnya diadakan pada 20 Oktober," lapor persatuan itu.
Justeru, NSFC berharap agar para penyokong memberi sokongan dan mendoakan kesejahteraan para pemain dan pegawai berkenaan.
Sumber Facebook nsfc1923
#Negeri Sembilan FC #Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan #pemain bola positif COVID-19 #Piala Malaysia
;