23 pengadil negara terima lencana Pengadil FIFA 2025

Astro Arena
Februari 3, 2025 14:45 MYT
23 pengadil negara telah dipilih oleh Panel Pengadil Antarabangsa FIFA untuk didaftarkan sebagai Pengadil FIFA bagi tahun 2025.- Foto FAM
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan seramai 23 pengadil negara telah dipilih oleh Panel Pengadil Antarabangsa, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk didaftarkan sebagai Pengadil FIFA bagi tahun 2025.
"Seperti yang semua sedia maklum, seramai 23 pengadil tempatan telah dipilih oleh Panel Pengadil, Antarabangsa, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk didaftarkan sebagai Pengadil FIFA bagi tahun 2025 ini.
"Menerusi senarai yang telah dikeluarkan oleh FIFA, Pengadil-pengadil dari Malaysia itu terdiri daripada tujuh Pengadil (termasuk seorang wanita); 10 Penolong Pengadil (termasuk dua wanita); empat Pengadil Futsal (termasuk seorang wanita) dan dua Pengadil Bola Sepak Pantai.
"Simbolik penyerahan lencana Pengadil FIFA tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM kepada Pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah yang merupakan Pengadil FIFA sejak tahun 2020.
"Yang turut menerima lencana tersebut daripada Datuk Sivasundaram ialah empat Pengadil Futsal iaitu Helday Idang, Norafendy Norhayalan, Faiz Jamaluddin dan Atikah Janah, serta Pengadil Bola Sepak Pantai, Amirul Aizat Lodin dan Syahir Shaharul Nizam.
"Selain itu, seorang lagi Pengadil, Mohd Nazmi Nasaruddin yang merupakan Pengadil FIFA sejak tahun 2016 serta calon Pengadil Piala Dunia 2026 telah menerima lencana berkenaan daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman," katanya. -- Stadium Astro
#Pengadil FIFA 2025 #FAM #terima lencana #pengadil malaysia
;